Solleh Al-Fatimi
Tatkala zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a, satu krisis besar besar berlaku iaitu perbezaan cara membaca al-Quran di kalangan umat Islam. Terdapat sebahagian bacaan mereka bercampur dengan kesalahan. Mereka bukan setakat mempertahankan dan berpegang pada bacaan mereka, malah menentang sesiapa sahaja yang menyalahi bacaan mereka, bahkan mereka saling mengkafirkan.

Bagi atasi masalah ini, Saidina Uthman r.a melantik dan memerintahkan Zaid bin Thabit al-Ansari, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin al-‘As dan Abdul Rahman bin al-Haris bin Hisham al-Qurasyiyyin agar menyalin dan memperbanyakkan mushaf. Hasil dari usaha mereka ini, para ulama’ telah mengistilahkan metod penulisan ini dengan ‘ar-Rasm al-‘Uthmani lil Mushaf’.[1]

Namun demikian, para ulama’ berselisih dalam menetapkan hukum metod penulisan ini. Perselisihan ini terbahagi kepada tiga pendapat.

1. Penulisan Rasm al-Uthmani bagi al-Quran adalah bersifat tauqifi; suatu yang ditetapkan yang wajib dipakai dalam penulisan al-quran dan sampai ketahap mensucikannya. Mereka menisbahkan tauqif ini kepada Nabi s.a.w.

2. Ramai dari kalangan para ulama’ yang berpendapat bahawa Rasm al-Uthmani bukanlah tauqifi daripada nabi s.a.w, tetapi ianya merupakan istilah (cara penulisan) yang dipersetujui oleh Saidina Uthman r.a dan diterima baik oleh umat Islam. Maka wajib berpegang dan menggunapakai metod ini, dan tidak harus menyalahinya.

3. Segolongan berpendapat bahawa Rasm al-Uthmani merupakan satu istilah, dan tidak ada penghalang daripada menyalahinya. [2]

Walaupun demikian, pandangan yang kedua adalah lebih kuat dan rajih. Perkara ni sebagaimana yang dipegang oleh Manna’ al-Qattan;[3]
“Setelah saya menilai, pandangan kedua adalah pandangan yang rajih, dan penulisan al-Quran wajib mengikuti metod Rasm al-Uthmani yang dikenali dalam mushaf. Ia merupakan penulisan yang disepakati yang diwarisi oleh umat Islam sejak zaman Saidina Uthman r.a lagi. Pemeliharaan rasm ini merupakan satu jaminan yang kuat bagi penjagaan al-Quran daripada perubahan dan penggantian huruf-hurufnya. Dan sekiranya dibenarkan penulisan al-Quran dengan penulisan istilah imla’ (penulisan berdasarkan kepada cara baca) di setiap masa, perkara ini akan membawa kepada perubahan tulisan mushaf dari semasa ke semasa. Bahkan metod imla’ itu sendiri turut berbeza kecenderungannya pada sesuatu masa dan bermacam variasi pada sebahagian kalimah antara negeri-negeri".
Oleh yang demikian, berusahalah mempelajari al-Quran dengan menggunakan mushaf uthmani yang mendapat pengiktirafan dari seluruh umat Islam. Sekalipun sebahagian kita menemui kesukaran untuk membacanya pada perinkat awalnya, namun ia merupakan satu kaedah penulisan yang mantap dan teguh.

Salam persahabatan dengan al-Quran. Kalamullah.

______________________
[1] Manna’ al-Qattan. (1998). Mabahith fi ‘Ulum al-Quran. Beirut: Muassasah ar-Risalah; 115
[2] ibid; 131-133
[3] ibid; 133-134
Labels: | edit post
1 Response
  1. arif fadli Says:

    sekiranya ada manuskip al-quran zaman saidina uthman bin 'affan r.a, sila masukkan ke blog anda..


Catat Ulasan