Solleh Al-Fatimi

oleh: Solleh al-Fatimi


Satu mukjizat. Itulah yang boleh diungkapkan terhadap proses menghafaz al-Quran. Mengapa mukjizat? Ini kerana proses dan usaha menghafaz al-Quran bukan setakat melibatkan ribuan orang, bahkan melibatkan jutaan daripada umat Islam dari seluruh dunia. Tanpa mengira bangsa dan bahasa. Mereka bersama dalam menghafaz al-Quran, sekalipun untuk menggapainya memerlukan usaha yang padu dan ketekunan yang tulus, kerana di dalam Kitab Suci ini disulami dengan pelbagai surah dan ayat-ayat yang hampir sama. Ia mencabar seseorang yang menghafaz al-Quran agar lebih menumpahkan seluruh fikirannya terhadap penghafazan al-Quran.

Bahkan tiada satu kitab pun di dunia ini, samada kitab samawi atau bukan kitab samawi yang dihafaz oleh manusia sebagaimana al-Quran. Inilah keistimewaan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada al-Quran. Hanya kepada al-Quran. Kita akan bertambah takjub lagi dan merasai betapa mukjizatnya al-Quran apabila kita melihat terdapat golongan muslim yang tidak pernah tergambar dalam benak fikiran kita bahawa mereka akan menghafaz al-Quran dan berjaya menghafaz keseluruhannya. Mereka menghafaz kitab ditangan kita yang berjumlah 604 muka surat ini. Sesungguhnya mereka berjaya merealisasikan hafazan al-Quran di dalam dada mereka. Mereka yang dimaksudkan ialah:

1. Kanak-kanak yang tidak sampai 10 tahun, bahkan kadang-kadang tidak sampai 7 tahun pun sudah menghafaz al-Quran dan berjaya menyempurnakan hafazan mereka dalam usia sebegini kecil.

2. Tidak kurang banyaknya, kita dapati golongan yang buta huruf; yang tidak mengetahui membaca dan menulis pun turut mampu untuk menghafaz al-Quran. Inilah mukjizat al-Quran. Hanya sekadar bermodalkan mendengar dan tunjuk ajar daripada orang lain, mereka mampu menyempurnakan hafazan al-Quran.

3. Kita juga melihat golongan yang tidak dikurniakan nikmat penglihatan mata untuk melihat. Mereka buta mata melihat dunia, namun celik mata hatinya untuk melihat kebenaran. Namun Allah s.w.t. menggantikannya dengan nikmat yang lebih baik; nikmat menghafaz al-Quran. Sekalipun mereka tidak mampu untuk melihat apatah lagi untuk mentalaah mushaf dan menghafaz dalam bentuk rupa muka surat, namun Allah s.w.t. mengurniakan kepada mereka penglihatan hati yang begitu terang untuk menghafaz al-Quran. Sesungguhnya keadaan mereka ini tidak menghalang mereka untuk mencapai hafazan yang lebih mantap dan lebih rasikh. Bahkan kadang-kadang hafazan mereka lebih hebat daripada golongan yang dikurniakan pancaindera untuk melihat.

4. Bahkan lebih ajaib dan aneh lagi, kita dapati bangsa yang tidak bertutur dengan Bahasa Arab pada asalnya, namun masih berjaya menghafaz Kitab Suci ini di dalam hati mereka. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga mampu untuk membacanya sebagaimana al-Quran diturunkan. Dan kita jangan terkejut, jika kita dapati kadang-kadang golongan ini lebih baik bacaannya daripada kebanyakan orang arab yang bertutur dengan Bahasa Arab.

Melihat semua perkara ini, maka Dr. Raghib as-Sirjani menyimpulkan,

“Semua ini mengisyaratkan bahawa kemudahan menghafaz kitab ini adalah satu ‘mukjizat ilahiyah’ dan ayat rabbaniyah (ayat yang datang dari Allah)”.[1]


Sangat benarlah apa yang diungkapkan oleh Allah s.w.t. melalui firmannya dari Surah al-Hijr, ayat 9:


“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”

Cara yang terbaik untuk menjaga Kitab Suci ini di dunia adalah dengan menghafaznya pada hati-hati kita semua. Tanpa membezakan antara lelaki, wanita dan kanak-kanak, semua perlu mengambil peranan masing-masing. Kerana inilah tempat yang paling aman dan selamat untuk menjaga dan memelihara al-Quran. Di mana tempat inilah, musuh tidak mampu untuk sampai kepadanya. Di sinilah tiada sesiapa pun yang mampu untuk mengusiknya apatah lagi untuk menjajahnya, melainkan kita sendiri menyerahkannya. Ia selamat untuk selama-lamanya.

Samada kita sedari atau tidak, pelbagai cubaan dan usaha yang berterusan dan terancang dari pihak musuh untuk menghapuskan Islam dengan cara memusnahkan al-Quran. Justeru itu, sekalipun umat Islam diperangi habis-habisan dan kitab suci al-Quran dibakar, namun mereka tetap gagal kerana al-Quran tetap kekal di dalam dada muslim. Hal demikian dapat kita saksikan sebagaimana yang berlaku sebagai contohnya pada negara-negara Islam tatkala dijajah oleh Soviet Union. Mereka membakar setiap mushaf yang mereka jumpai, mereka membunuh mereka yang mempunyai mushaf di rumahnya atau di tempat kerjanya.

Namun mereka tidak mampu membakar mushaf yang tersimpan di dada-dada mereka. Dari kalangan rakyat negara ini yang menghafaz al-Quran di dada mereka inilah yang bangun mengajar dan memindahkan al-Quran dari seseorang kepada seseorang yang lain dengan cara talaqqi. Tempat persembunyian, gua besar dan parit menjadi ‘sekolah’ untuk mereka mempelajari al-Quran. Betapa besarnya peranan yang mereka mainkan. Hasilnya, setelah berlalunya awan gelap kezaliman Rusia, maka dunia menyaksikan bahawa al-Quran tetap kekal dalam dada orang Islam di Rusia. Rahsianya mereka menyimpan al-Quran di tempat yang paling selamat di dunia ini. Ya! Di dada-dada mereka. Dan di hati-hati mereka.

Betapa benarnya firman Allah s.w.t:

“Bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu” (Surah al-Ankabut : 49)



------------------
[1] Dr. Raghib as-Sirjani, Kaifa Tahfaz al-Quran al-Karim; 7. Download bukunya di sini.