Solleh Al-Fatimi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:

Bahagian pertama: http://solleh-alfatimi.blogspot.com/2014/04/semoga-ustaz-don-maju-jaya-dalam-dakwah.html

Pada bahagian ini, saya tumpukan kepada isi kandungan video yang dipertikaikan. Dalam video kompilasi tersebut, terdapat beberapa tajuk, namun yang diberi keutamaan oleh Ustaz Don dan ramai pengkritik adalah pada 3 isu; telaga barahut, bani tamim dan mesir.

Saya akan mengulas dua sahaja iaitu isu bani tamim dan mesir. Saya tidak bercadangkan ingin mengulas tentang isu-isu lain kerana tidak begitu diperbesarkan, ragam permasalahan adalah hamper sama. Jawapan yang saya kemukakan akan menjawab secara tidak langsung tentang isu tersebut.

TINDAKAN USTAZ DON
Sebagaimana yang saya nyatakan pada bahagian pertama, perkar pokok yang perlu ustaz Don perjelaskan adalah berkenaan isi kandungan, bukannya teknikalnya. Sekiranya ustaz Don menjawabnya secara disiplin ilmu, kemungkinan artikel ini tidak akan wujud.

PERTAMA: CERITA BANI TAMIM.
Transkrip Ustaz Don : “Tuan-tuan, cuba buka kitab, kitab hadis, tengok akhir zaman, contoh saya bagi je. Imam Mahdi, bukankah imam Mahdi nanti ada penyokong. Penyokong imam Mahdi adalah Bani Tamim daripada timur dan ulama kata kenapa bani tamim? ‘ta’ = tanah, ‘mim’ = melayu. Tanah Melayu. Ini diskusi antara ulama. Bukan saya cakap kosong, hak ni ulama yang beritahu kat saya. Saya sampaikan kat tuan-tuan. Nabi sebut imam Mahdi yang mai (datang) tolong dia, support belakang dia adalah Bani Tamim daripada timur. Orang cari bani Timur, siapa dia?  Bila ulama renung-renung; ‘ta’ ‘mim’ = tanah melayu”. [rujuk video kompilasi @ video Bani Tamim sebagaimana di atas]… Setakat ini sahaja ulasan Ustaz Don tentang Bani Tamim, ceramah seterusnya adalah perkara yang lain dan tiada bersangkutan dengan Bani Tamim.

Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah
1. siapakah ulama yang berkata; bani tamim adalah ‘ta’ = tanah, ‘mim’ = melayu. Siapakah para ulama itu? Apakah kitabnya? [hak ni ulama yang beritahu kat saya…Ini diskusi antara ulama… Bila ulama renung-renung;]
2. Benarkah tafsiran ini?
Ustaz Don berpendapat bahawa ini merupakan teori dan pandangan, yang mana ia boleh diterima dan ditolak. Namun persoalannya, apakah dalam agama kita boleh berteori sesuka hati? Andai kita bebas berteori, maka tiada salahnya ajaran sesat, syiah, muktaziah yang berteori terhadap al-Quran dan al-Sunnah dengan cara yang sewenang-wenangnya! Apakah kita bersetuju dengan perkara ini? Justeru, dalam berteori ada landasannya, ada disiplin ilmunya. Marilah kita mendalaminya.

BANI TAMIM & USTAZ BADLI SHAH

Ustaz Don juga menyatakan bahawa tafsiran ini diambil daripada perbincangan dengan al-Fadhil Ustaz Badli Shah. Wallahu a’lam. Namun berdasarkan rancangan CINTA ILMU yang membincangkan tanda-tanda kiamat merupakan antara rancangan yang sentiasa saya ikuti sekalipun terkadang terlepas beberapa episod, saya dapat memerhatikan metodologi penyampaian Ustaz Badli Shah. Pertama sekali, menggunakan buku Asyrat al-Sa’ah, karangan Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil. Sebuah buku yang membentangkan tanda-tanda kiamat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Kedua: Ustaz badli juga ada menyelitkan beberapa teori dalam sesuatu perkara. Ustaz Badli menyenaraikan teori-teori tersebut dan tidak menyatakan ini adalah teori yang betul atau salah. Beliau sekadar menyenaraikan.

Justeru, kemungkinan ketika perbincangan dengan Ustaz Badli (wallahu a’lam), ustaz Badli menyenaraikan atau menyatakan antara teori yang timbul tentang bani tamim adalah tanah melayu. Ini kemungkinan. Maka ustaz Badli tidak boleh dipersalahkan kerana beliau menyatakan bani tamim adalah tanah melayu tetapi hanya menyatakan ada teori yang menyatakan demikian.

Berbeza dengan Ustaz Don yang menjadikan salah teori tersebut sebagai hujah untuk menyatakan hebatnya orang melayu atau orang di tanah melayu. Cara ustaz Don ini memberi gambaran kepada para pendengar bahawa tafsiran bani tamim dalam hadis adalah tanah melayu. Ini merupakan satu jenayah ilmu dan pentafsiran nas agama yang menyeleweng.

Oleh yang demikian, kami menuntut ustaz Don nyatakan siapakah para ulama (ramai) yang menyatakan bani tamim adalah tanah melayu. Hal ini kerana ustaz Don menegaskan; “Ini diskusi antara ulama.” Justeru, Ustaz Don wajib menjelaskan perkara ini siapakah ulama itu?, berapa orang yang terlibat? Bilakah diskusi itu? Apakah kitab rujukan diskusi tersebut?.

Memang benar ustaz Don tiada sebut dalam ceramahnya; “Saya tak sebut sepatah pun inilah maksud hadis tersebut”. Benar ustaz Don tidak menyebutnya. Andai tidak bermaksud inilah maksud hadis bani tamim, maka kenapakah beliau mengeluarkan kenyataan bani tamim adalah tanah melayu? Apakah tujuan beliau menaqalkan pandangan ‘ulama’ (bagai pandangan beliau) yang menyatakan bani tamim adalah tanah melayu, sedangkan beliau sendiri tidak menafikan teori tersebut. Maka mengikut kaedahnya; ‘apabila kita menaqalkan suatu pandangan tanpa kita mengkritik pandangan tersebut, maka itulah pandangan kita atau pandangan yang kita sokong’. Oleh demikian, Ustaz Don tidak perlu berdalih dan berbohong kepada penonton seumpama ‘memperbodohkan’ para penonton.

CARA NABI BERCAKAP.

Apabila difikirkan tentang teori ini, maka kita akan dapat mengesan bahawa teori ini adalah salah kerana mustahil Rasulullah bercakap tentang bani tamim sedangkan para sahabat tidak memahami siapakah bani tamim.
Allah berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ
Maksudnya: Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. (Surah Ibrahim :  4)
Rasulullah bersabda:
عَنْ عَائِشَةَ رَحِمَهَا اللَّهُ قَالَتْ كَانَ كَلَامُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَامًا فَصْلًا يَفْهَمُهُ كُلُّ مَنْ سَمِعَهُ
“Sesungguhnya percakapan Rasulullah SAW adalah percakapan yang yang teratur (iaitu jelas dan nyata) yang difahami oleh semua orang yang mendengarnya”. (Riwayat Abu Dawud, no: 4199)

Justeru, mustahil Rasulullah SAW berbicara tentang Bani Tamim sedangkan para sahabat tidak memahami dan tidak mengetahui siapakah Bani Tamim. Lebih-lebih lagi pada masa tersebut Tanah Melayu pun belum wujud.

TANDA KIAMAT ADALAH PERKARA AKIDAH

Kita perlu sedar bahawa persoalan tanda-tanda kiamat merupakan persoalan akidah iaitu salah satu intisari dalam rukun iman; percaya kepada hari kiamat. Oleh itu, ia wajib berdasarkan dalil yang sahih daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia juga wajib difahami dalam konteks al-Quran dan al-Sunnah. Maka sebagai seorang muslim adalah haram sama sekali mentafsirkan perkara akidah berdasarkan kecenderungan kita tanpa berdasarkan ilmu yang benar.
Insafi ancaman Rasulullah SAW.

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Diriwayatkan daripada al-Mughirah r.a., katanya: Saya mendengar Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya pendustaan terhadapku bukanlah sama seperti pendustaan terhadap orang lain. Sesiapa yang berdusta terhadap aku secara sengaja, maka persiapkan dirinya bagi tempatnya di dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan ramai lagi)

Sedarkah kita bahawa hadis di atas adalah hadis mutawatir. Hadis yang diriwayatkan seumpama ini lebih daripada 73 orang sahabat!

Berdusta kepada Rasulullah bukan sekadar meriwayatkan hadis palsu, tetapi termasuk berdusta kepada Rasulullah apabila kita mentafsirkan hadis Rasulullah diluar ruang lingkup maksud Rasulullah SAW, bahkan berdasarkan akal dan tidak berpandukan kepada disiplin ilmu.
Penjelasan bani tamim sebagai tanah melayu merupakan teori yang bercanggah dengan akidah ahli al-sunnah wa al-jamaah samada aliran asyairah atau pun salafi.

KAEDAH BERINTERAKSI DENGAN HADIS AKHIR ZAMAN @ TANDA-TANDA KIAMAT

Untuk mentafsir hadis akhir zaman, para ulama telah menyusun pelbagai kitab untuk rujukan dan panduan dalam mentafsirkan hadis akhir zaman. Justeru, andai kita tidak tidak berpandukan dengan panduan tersebut, bermaksud kita telah memandai-mandai mentafsirkan hadis Rasulullah SAW.

Antara buku yang menarik untuk dikongsikan di sini ialah buku ‘Ma’alim wa Manarat fi Tanzil Nusus al-Fitan wa al-Malahim wa Asyrat al-Sa’ah ‘ala al-Waqi’ wa al-Hawadith’ karangan Syeikh Abdullah bin Soleh al-‘Ajiri. Beliau menyenaraikan 24 cara berinteraksi dengan hadis akhir zaman. Antaranya ialah:

Kaedah ke-10 : meraikan lafaz-lafaz syariat.
Kaedah ke-12 : merujuk kepada ulama dalam perkara ini. (tidak memadai merujuk kepada ulama Melayu yang tidak merujuk kepada sumber utama agama dalam Bahasa Arab- saya)

Syarat yang paling berkaitan dengan isu yang dibincangkan ini ialah syarat ke 23. Syeikh al-‘Ajiri menyebut: “Sesungguhnya wajib berpada dengan apa yang ditunjukkan oleh nas syarak tentang sifat realiti yang berlaku, maka ianya satu-satunya sumber bagi menggambarkan realiti akan datang untuk mengesahkan waktu ia berlaku. Maka tidak perlu memperbanyakan sifat-sifat yang akan berlaku sedangkan ia tidak dinyatakan di dalam nas, kerana sifat tambahan tersebut akan menyempitkan ruang lingkup realiti sebenar sehingga mengeluarkan daripada sempadan ini sesuatu yang tidak dinyatakan sifatnya..." (m/s 212).

Beliau memberi contoh, antaranya ialah sebahagian daripada manusia yang menyatakan sifat-sifat al-Mahdi yang tidak benar, tidak terdapat pada nas yang sahih, tidak ada pada nas dhaif atau kadang-kadang ia maudhuk (hadis palsu)…” (m/s: 213)

Justeru, mensifatkan bani Tamim sebagai golongan daripada Tanah Melayu merupakan suatu sifat yang tiada asasnya dalam al-Quran dan al-hadis. (Hadis palsu pun tiada sebut!) Maka, teori sebegini adalah teori yang menyeleweng sebagaimana teori al-Mahdi bagi mazhab Syiah.

BERTEORI DAN MENTAFSIRKAN NAS AGAMA.

Ustaz Don berhujah bahawa pandangan ini adalah satu pandangan, ia pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Benar. Namun, isu disini bukan sekadar kebebasan berteori tetapi bagaimana disiplin ilmu dalam berteori. Tambahan pula, perkara yang di diterorikan itu adalah ilmu agama, bukan ilmu sains dan matematik. Maka disiplin ilmu agama wajib diikuti dan dipatuhi. Andai ia dilanggar, maka penyelewengan dan kemusnahan agama akan berlaku secara berleluasa.

Di sini saya ingin menukilkan pandangan ulama Malaysia yang disegani oleh saya dan juga Ustaz Don, bahkan seluruh Malaysia iaitu Tuan Guru Dr. Zulkifli Muhammad al-Bakri. Dalam buku beliau yang berjudul ‘Fatwa dan Mufti : Hukum, Etika dan Sejarah’, beliau menyebut pada bab ke-4: Kegelinciran yang berfatwa masa kini. Sekalipun buku ini membincangkan tentang fatwa, namun prinsip dalam mentafsirkan dan berteorikan nas agama dan syariat Islam adalah sama. Begitu juga maqasid yang sama.

Dr. Zulkifli menyenaraikan faktor kegelinciran, iaitu PEMAHAMAN YANG MENYIMPANG. Beliau menyebut; “Kadang kala, perkara ini (kesalahan menyimpulkan sesebuah ketentuan hukum dalam fatwa) juga disebabkan seseorang itu mendokong pendapat sesuatu golongan, aliran pemikiran, kelompok parti politik atau untuk mengejar keuntungan duniawi, atau juga kerana bertaqlid dan mengikut pendapat orang lain dengan membabi buta”. (m/s: 45)

Beliau juga menerangkan bahawa penyelewengan yang pernah dilakukan oleh Ahli Kitab terhadap kitab Taurat dan Injil. Yang mana penyelewengan atau tahrif yang mereka lakukan bukan setakat menggantikan satu lafaz dengan lafaz yang lain, tetapi yang lebih penting daripada itu ialah penyelewengan dan penyimpangan makna dan maksud daripada satu-satu ayat. Ini bererti penyeewengan boleh terjadi dalam dua peringkat iaitu:

a) penyelewengan ayat - diganti dengan lafaz yang lain.
b) penyelewengan makna dan maksud ayat. (Fatwa dan Mufti: 46)

Faktor penyelewengan yang lain adalah MENGIKUT DORONGAN HAWA NAFSU; saya menukilkan faktor ini adalah kerana disebabkan ingin menunjukkan kehebatan melayu, lantas mengambil teori tanpa penyelidikan yang lebih mendalam. Marilah kita fahami maksud peyelewengan ini.

Apabila Dr. Zulkifli berbicara tentang kegelinciran yang berfatwa masa kini yang ke-4, disebabkan oleh ‘mengikut dorongan hawa nafsu’. Beliau antara lain menyebut: “musibah yang ditimbulkan oleh orang seperti ini bermula dengan penampilan mereka sebagai seorang intelektual Islam dan ulama besar, mendapat publisiti yang begitu meluas melalui media cetak dan elektronik sehingga ramai di kalangan umat yang terpengaruh dengan idea-idea mereka. Bahkan, ada orang yang boleh melupakan ulama-ulama lain yang warak, bertaqwa, ikhlas dan mendalam ilmunya dalam perkara-perkara tentang agama Allah SWT. Dengan demikian ummah hanya mengambil sumber yang rapuh dan buruk dengan menginggalkan sumber yang kukuh dan baik”.

“Termasuk dalam perkara yang mengikuti hawa-nafsu adalah:  melakukan tarjih antara beberapa pendapat-pendapat yang berbeza tanpa menggunakan murajjih (dalil atau hujah) yang lebih kuat dari segi naqli (nas al-Quran dan al-Sunnah), aqli (akal) atau mashlahi (mengambil kira maslahat yang diiktibar oleh syarak). Satu daripada pelbagai pendapat yang berbeza itu diambil hanya kerana mengikut perasaan hati, dorongan hawa nafsu atau untuk memuaskan kehendak orang lain sahaja, apatah lagi ada kemungkinan pendapat yang diambil itu adalah pendapat yang paling lemah hujahnya atau pendapat yang tidak diambil kira oleh kebanyakan ulama muktabar. Para ulama muktabar mengkategorikan perbuatan seperti ini, iaitu mengambil salah satu daripada pelbagai pendapat yang berbeza tanpa alasan dalil lain yang lebih kuat dan kukuh, MERUPAKAN PENYELEWENGAN DAN PEMESONGAN AJARAN AGAMA ALLAH SWT YANG SUDAH JELAS HUKUM HARAMNYA, seperti yang diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada para ulama dan intelektual Islam agar tidak menjadikan hukum hakam dan ajaran agama Allah SWT sebagai permainan hawa-nafsu dan dorongan syaitan”. (Fatwa dan Mufti; 60-61)

Dr. Zulkifli al-Bakri seterusnya menukilkan pandangan Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah, katanya: Seorang mufti DILARANG mengambil mana-mana pendapat dan pandangan yang berbeza tanpa satu alasan dalil yang kuat dan kukuh. Apatah lagi cara pengambilan satu-satu daripada pelbagai pendapat yang berbeza itu hanyalah kerana ia merupakan pendapat seorang imam atau pandangan sebahagian ulama, kemudian, tanpa hujah yang kukuh dan kuat, mufti mengambil mana-mana pendapat yang disukainya kerana sesuai dengan perasaan hati dan tujuannya. Dengan cara ini, dia (mufti) telah menjadikan keinginan hati dan tujuannya sebagai murajjih (dalil) untuk mengambil dan mengamalkan mana-mana daripada pelbagai pendapat yang berbeza, maka perbuatan seperti ini adalah HARAM DI SEGI AGAMA ISLAM. (Fatwa dan Mufti; 61)

Oleh itu, apakah tafsiran ini masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan dan mengikut disiplin ilmu? Apakah teori sebegini tidak berpunca daripada mngikut dorongan hawa nafsu lagi? Oleh itu, insafilah Firman Allah SWT ini:
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,”. 
Surah al-Muddathir 74 : 38





KEDUA : MESIR & FITNAH IKHWAN MUSLIMIN

Berikut adalah transkrip ustaz Don:
“Ada dua peristiwa besar terjadi. Pertama, masa mesir jatuh, ada sedikit rusuhan, mursi diturunkan, tentera naik, kemudian ada satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang orang ‘alim, yang dihormati, namanya Dr. Ali Jumuah. Betul tak? Dia kata macam boleh darah-darah rakyat tu, macam orang kata; tentera boleh  tembak depa (mereka), takde masalah.

Saya nak beritahu tuan-tuan, kalau dalam situasi macam tu, tuan-tuan nak percaya siapa? Sedangkan syeikh ‘Ali Jumuah, maaf eh, ini saya sebut bentuk ilmu. Tuan-tuan nak rujuk, tuan-tuan nak percaya, nak kuatkan hati, tuan-tuan boleh balik gi (pergi) cari sendiri, takde masalah.

Diantara orang yang diberi peluang untuk melihat nabi; Dr. Ali Jumuah. Yang biasa bermimpi, boleh brcerita; Dr. Ali Jumuah. Antara… Saya nak sebut kata; bila dia keluarkan kenyataan macam tu, yang paling terkesan sekali siapa dia? Anak-anak murid dia yang mana belajar, orang-orang Malaysia yang belajar dengan dia. Semua jadi terkejut; kenapa syeikh keluarkan fatwa macam ni?. Semua orang melenting; kenapa syeikh jadi macam ni, kenapa jadi camni. Orang jadi melenting tengok perkara-perkara macam tu. Yang sepatutnya kita anak murid kena yakin itu guru kita. Dia bercakap berdasarkan kepada ilmu dia… (kemudian Ustaz Don cerita betapa Syeikh Usamah begitu kagum dengan Dr. Ai Jumuah)…

Budak melayu yang ngaji tak lama ni, yang mengaji sekerat-sekerat ni, sikit-sikit, balik melenting apabila syeikh Ali Jumuah cakap macam tu. Saya nak Tanya kita tahu tak apa yang berlaku dekat mesir sebenarnya? Saya tak kata ikhwanul muslimin jahat. Saya tak kata. Saya nak beritahu ikhwanul muslimin betul. Tapi siapa duk bawa ikhwanul muslimin? Dr. Mursi bagus, silakan. Tapi siapa pengikutnya? Tuan-tuan selidik tak yang tu?

Maafkan saya jika saya sebut, antara yang paling ramai mengikut ikhwanul muslimin adalah mereka yang berpegang dengan fahaman salafi wahabi. Dan sudah ada ura-ura dikalangan mereka bila mereka dapat sahaja pegang mesir, pertama sekali yang mereka nak mansuhkan adalah pendidikan university al-Azhar. Tuan-tuan tahu tak benda-benda tu? Yang kita duk melenting at Ali Jumuah ni! Ooooh mana boleh, kita tak tahu, tak khabar. Dia tak boleh nak khabarkan kat kita, dia ada rancangan dia. Dia ada plan dia. Tak beritahu plan tu adalah plan. Not telling the plan is plan. Boleh faham tak? Yang mana lagi besar? Jangan jadi macam syiria… (kemudian Ustaz Don cerita tentang Syiria, Dr. al-Bouti). [00:25:00 - 00:31:45]

Kemudian ustaz Don cerita tentang perbezaan pendapat antara Mufti kedah dan Dr. MAZA. [masa 00:38:20] baru mula baca kitab.

FATWA ALI JUMUAH

Di dalam video tersebut ustaz Don menyatakan pendapat yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Ali Jumuah: “Dia kata macam boleh darah-darah rakyat tu, macam orang kata; tentera boleh  tembak depa (mereka), takde masalah” [Video penuh tentang Ikhwan]. Namun kenyataan ini telah diperbetulkan oleh Ustaz Don bahawa ia Dr. Ali menafikan bahawa itu adalah kenyataan beliau. [Jawapan Ustaz Don 1 (TV al-Hijrah)]
Maka daripada kuliah Ustaz Don di Bangi [Video penuh tentang Ikhwan] yang merupakan punca tercetusnya kritikan terhadap beliau dan Dr. Ali. Andai ustaz Don sangat menekankan tentang firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,”. Surah al-Hujurat : 6.

Maka kenapakah beliau tidak mengaplikasikan prinsip ini di dalam kuliahnya? Kenapa terlalu cepat menyebarkan berita yang tidak benar? Kenapa tiada tabayyun? Kenapa tiada tasabbut? Benar, Ustaz Don yang seolah-olah ingin membela gurunya, namun sekiranya tuduhan terhadap Dr. Ali adalah tidak benar dan fitnah, maka ustaz perlu nafikan fatwa palsu tersebut yang dinisbahkan kepada Dr. Ali dan bukannya menyebarkan dan menyokong fatwa tersebut serta menyuruh orang lain meyakini dengan fatwa tersebut.

PERCAYA GURU
Rentetan daripada kepercayaan bahawa fatwa itu benar datangnya daripada Dr. Ali, maka Ustaz Don mengajak penonton untuk mempercayai fatwa tersebut. Ustaz Don menjelaskan: “Saya nak beritahu tuan-tuan, kalau dalam situasi macam tu, tuan-tuan nak percaya siapa? Sedangkan syeikh ‘Ali Jumuah, maaf eh, ini saya sebut bentuk ilmu.”… “Yang sepatutnya kita anak murid kena yakin itu guru kita. Dia bercakap berdasarkan kepada ilmu dia…”.

Sedangkan dalam disiplin ilmu, kita tidak diajar untuk mempercayai apa sahaja yang keluar daripada mulut guru dan tidak meyakini bahawa guru kita adalah betul dan benar dalam semua perkara. Memang diakui keilmuan Dr. Ali, seorang ulama yang hebat dan saya sendiri membaca kitabnya dan pandangannya juga menjadi rujukan saya. namun kita ini tidak bermakna semua fatwa dan kata-katanya adalah benar dan tiada salah. Lebih-lebih lagi ia melibatkan menghalalkan yang haram (membunuh orang yang turun demostrasi), maka ia perlu kepada kaedah dan disiplin ilmu dengan membentangkan dalil yang sahih dan pemahaman yang betul.

Tetapi Alhamdulillah, fatwa tersebut tidak dikeluarkan oleh Dr. Ali. Alhamdulillah. Cuma yang tersepit sekarang adalah Ustaz Don yang terlalu gopoh mempercayai dan mengajak penonton mempercayai fatwa tersebut. Sedangkan dalam masa yang sama ustaz Don tidak meneliti kisah sebenarnya.

MIMPI JUMPA RASULULLAH

Antara faktor yang membuatkan Ustaz Don mengajak penonton mempercayai fatwa tersebut adalah kerana Dr. Ali pernah beberapa kali bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Ustaz Don berkata: “Diantara orang yang diberi peluang untuk melihat nabi; Dr. Ali Jumuah. Yang biasa bermimpi, boleh brcerita; Dr. Ali Jumuah.”.

Benar, kita sangat menginginkan untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Namun asas dan dasar ini tidak boleh dijadikan hujah. Kita tidak boleh membenarkan dakwaan atau fatwa seseorang kerana seseorang itu pernah mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Ini bukan disiplin ilmu yang diamalkan oleh para sahabat, tabiin dan mereka yang mengikuti mereka.

al-Imam Ahmad bin Hanbal menceritakan tentang seseorang berkata kepadanya: “Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara! Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan menumpahkan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mimpi itu mengembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227).

Justeru jangan terpedaya dengan mimpi. Andai Dr. Ali bermimpi berjumpa dengan Rasulullah, maka itu adalah berita gembira buatnya tetapi kita jangan terpedaya dengan menganggap ini adalah lesen halal untuk mengeluarkan fatwa tanpa mengikuti Disiplin Ilmu.

Dalam hal peribadi Dr. Ali, saya secara jujur mengakui beliau mempunyai disiplin ilmu yang kukuh dan tidak menuduh Dr. Ali mengeluarkan fatwa sesuka hati atau memperdayakan pengikutnya dengan mimpi tersebut. Dengan perasaan ini saya tidak mengkritik ilmu dan kedudukan beliau sebagai ulama, namun yang perlu dipersalahkan adalah para pelajarnya yang telah merosakkan imej beliau dengan sifat taksub membuta tuli yang tidak berpandukan dalil.

MIMPI JADI HUJAH?

Sekiranya kita membuat andaian, seseorang bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, lantas dalam mimpi tersebut, Rasulullah SAW (baca: bukan yang sebenar) membenarkan seseorang membunuh orang lain, adakah mimpi tersebut merupakan hujah dan boleh diamalkan?

Imam Ibn Hajar al-Haitami rhm. Menyatakan dalam al-Manhaj al-Qawim:

ولا عبرة بقول من قال أخبرني النبي صلى الله عليه وسلم في النوم أن غدا من رمضان فلا يجوز بالإجماع العمل بقضية منامه لا في الصوم ولا في غيره (المنهج القويم بشرح مسائل التعليم لابن حجر الهيتمي – ص: 396, ط : دار المنهاج, 2006)
“Tidak diterima sesuatu perkataan bagi sesiapa yang berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW memberitahu saya di dalam tidur bahawa esok adalah puasa Ramadhan. Maka TIDAK HARUS SECARA IJMAK ULAMA untuk beramal dengan isu atau perkhabaran dalam mimpinya. TIDAK HARUS mengikutinya dalam perkara PUASA & SELAIN PUASA”.

Demikian juga prinsip yang ditegaskan oleh Imam al-Hasan al-Banna dalam Usul al-‘Isyrin:

ولكن الإلهام والخواطر والكشف والرؤى ليست من أدلة الأحكام الشرعية، ولا تعتبر إلا بشرط عدم اصطدامها بأحكام الدين ونصوصه.
“… Tetapi ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah daripada dalil-dalil hukum syarak. Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat iaitu tidak bercanggah dengan hukum agama dan nas-nas agama”.

Oleh yang demikian, andai seseorang yang bermimpi dan dalam mimpinya Rasulullah SAW menyuruh agar membunuh, maka mimi tersebut tidak relevan dan haram dilaksanakan. Apatah lagi seseorang individu yang bermimpi dengan Rasulullah SAW dalam perkara lain.


SOAL FATWA PERLU KEPADA DALIL

Oleh yang demikian, sebarang fatwa mesti berdasarkan asas yang kukuh ia dibina dariada disiplin ilmu yang mantap bukan berdasarkan hawa nafsu dan kejahilan. Dalam perbahasan ini saya tekankan bahawa Us. Don perlu berhujah berdasarkan disiplin ilmu dengan mengemukakan dalil dan hujah yang muktabar di sisi agama, bukan hujah yang diambil ditepi jalan (tanpa menyelidiki kebenaran) dan dijadikan modal ceramah.

FITNAH IKHWAN

Antara perkara sangat besar dan tidak boleh dimaafkan adalah tuduhan fitnah terhadap Ikhawanul Muslimin. Dalam video tersebut, Ustaz Don tidak menarik balik fitnah tersebut dan tidak memohon maaf terhadap Ikhwanul Muslimin. Ustaz Don menyatakan: “Maafkan saya jika saya sebut, antara yang paling ramai mengikut ikhwanul muslimin adalah mereka yang berpegang dengan fahaman salafi wahabi. Dan sudah ada ura-ura dikalangan mereka bila mereka dapat sahaja pegang mesir, pertama sekali yang mereka nak mansuhkan adalah pendidikan university al-Azhar. Tuan-tuan tahu tak benda-benda tu? Yang kita duk melenting at Ali Jumuah ni! Ooooh mana boleh, kita tak tahu, tak khabar. Dia tak boleh nak khabarkan kat kita, dia ada rancangan dia. Dia ada plan dia. Tak beritahu plan tu adalah plan. Not telling the plan is plan. Boleh faham tak? Yang mana lagi besar?” [Video penuh tentang Ikhwan]

Ini merupakan fitnah yang paling besar ustaz Don terhadap Ikhwanul Muslimin sekalipun beliau menyatakan; “Saya nak Tanya kita tahu tak apa yang berlaku dekat mesir sebenarnya? Saya tak kata ikhwanul muslimin jahat. Saya tak kata. Saya nak beritahu ikhwanul muslimin betul. Tapi siapa duk bawa ikhwanul muslimin? Dr. Mursi bagus, silakan. Tapi siapa pengikutnya? Tuan-tuan selidik tak yang tu?” [Video penuh tentang Ikhwan].

Ketika ustaz Don mempertahankan dirinya dengan mengemukakan dalil;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,”. Surah al-Hujurat : 6.

Apakah prinsip ini untuk membela diri ustaz Don sahaja? Tetapi Ustaz Don boleh sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan dan fitnah? Andai embuat video itu memfitnah Ustaz Don, maka mangsanya adalah Ustaz Don seorang. Tetapi apabila Ustaz Don menfitnah Ikhwanul Muslimin, bukan seorang yang menjadi mangsa, bukan seorang yang dizalimi tetapi berjuta-juta penyokong ikhwan dizalimi! Andai Ustaz Don benar2 jujur mohon maaf dan Tarik balik tuduhan ini.

Namun ustaz Don berlepas diri, bahawa berita ini diambil daripada Ustaz Muhadir Haji Joll [Penjelasan Ustaz Don (Sebelum ke UK)]. Saya tidak mahu mengkritik Ustaz Muhadir sebab saya tidak pasti dan tiada rakaman tentang kenyataan tersebut. Maka kritikan ini saya tujukan kepada Ustaz Don. Kerana Rasulullah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
“Sudah mencukupi seseorang itu dianggap sebagai berdusta apabila ia menceritakan semua yang ia dengar”. (Riwayat Muslim).

Sebenarnya, andai ustaz Don selidiki sedikit sahaja dengan membaca dan memerhatikan apa yang berlaku di Mesir, maka tuduhan ini tidak akan terjadi. Namun kerana sifat gopoh dan tiada disiplin ilmu, maka diceritakan apa yang didengar sekalipun ia palsu.

Apakah kita sedar bahawa kerajaan Saudi (yang dikatakan Wahabi) menyokong Ikhwan dan Mursi ditumbangkan, malah menyalurkan dana untuk al-Sisi. Apakah mereka tidak melihat bahawa Parti Nur yang bermanhaj salafi telah keluar dan menentang ikhwan serta bergabung dengan kumpulan untuk menumbangkan Mursi. Apakah ikhwan salafi wahabi! Tuduhan yang paling tidak berakal adalah Ikhwan yang didalangi pengikutnya bercita-cita untuk memansuhkan pendidikan al-Azhar. Ini merupakan satu kejahilan yang tidak mampu dimaafkan.

KESIMPULAN.

1. Ustaz Don ada menyatakan: “Jika benda itu saya buat, ampunkan saya” [video penjelasan sebelum ke UK]. Namun dosa terhadap ilmu bukan dimaafkan dengan minta maaf, tetapi perlu diberikan penerangan dan penjelasan yang sebenar. Inilah yang al-Quran ajarkan kepada kita;

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”. (Surah al-Baqarah: 160)

Inilah cara ahli ilmu jika ingin meminta maaf iaitu bertaubat, memperbaiki dan menerangkan perkara yang sebenar. Andai ia tidak dilakukan, ia adalah permohonan maaf yang dusta.

2. Ustaz Don perlu memahami disiplin ilmu yang ingin dibincangkan. Jagalah kemuliaan ilmu dan kedudukan para asatizah, sekalipun tidak layak bergelar ulama.

3. Saya tidak menyuruh ustaz Don berhenti dari berdakwah. Teruskan dakwah, tapi berhati-hati. Ilmu agama itu amanah. Masyarakat dahagakan agama, maka berilah ilmu yang benar-benar suci dan murni, berilah ilmu yang telah ditapis. Jangan kita sebarkan berita palsu dan kefahaman yang salah, lantas berlepas diri dengan menyatakan “Tuan-tuan nak rujuk, tuan-tuan nak percaya, nak kuatkan hati, tuan-tuan boleh balik gi (pergi) cari sendiri, takde masalah”. Tugas kita para asatizah lah yang memberi ilmu untuk menyebarkan agama yang benar dan fakta yang betul. Janganlah kita menyerabutkan kepala masyarakat dengan cerita atau fakta yang mengarut, atau fitnah. Jawablah segala persoalan secara objektif dan ilmiah.
4. Sekiranya ada terkasar bahasa dan tersalah fakta, saya mohon teguran. jika terdapat kritikan terhadap artikel ini, saya sangat mengalu-alukan, namun kritikan mestilah secara objektif dan berdasarkan ilmu. kritikan tanpa dasar ilmu, hanyalah dikemukan oleh mereka yang mengikuti hawa nafsu. Mohon Maaf.


Akhir kalam, saya doakan SEMOGA USTAZ DON MAJU JAYA DALAM DAKWAH. Amin.
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
24 April 2014


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:


إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”. (Surah Hud : 88)

Artikel ini ditulis selepas mendengar penjelasan yang dikemukakan oleh Ustaz Don Daniyal. Berikut adalah ucapan/ ceramah yang disampaikan oleh beliau:

LINK:
1.       Video kompilasi : http://www.youtube.com/watch?v=BwZPTlUPPTY
2.       Video penuh tentang Ikhwan : http://www.youtube.com/watch?v=4kNDZ5iz4LM
3.       Video pendek tentang ikhwan : http://www.youtube.com/watch?v=z4-T4X1jj54
4.       Video banin tamim : http://www.youtube.com/watch?v=JmaZqdM2XH0
5.       Penjelasan Ustaz Don (Sebelum ke UK) : http://www.youtube.com/watch?v=EsXUOtI32WE
6.       Jawapan Ustaz Don 1 (TV al-Hijrah) : http://www.youtube.com/watch?v=K4A4a4pXMHI
7.       Jawapan Ustaz Don 2 (TV al-Hijrah) : http://www.youtube.com/watch?v=iFltqcIi42c

Artikel ini ditulis bagi menyahut seruan daripada al-Fadhil Ustaz Don yang berkata: “Hari ini kita dah maju, apa salahnya. Kita fikir sama-sama, kita jadi orang bagus, kita menuntut ilmu, kita cari ilmu, menelaah ilmu, jawab penulisan dan sebagainya. Apa salahnya? Tak salah”. [video penjelasan sebelum ke UK, 10:55 - 11:26]. Justeru, apabila ustaz Don menyeru agar menjawab melalui penulisan, maka saya terpanggil untuk menjawabnya secara tulisan.

Setelah saya mendengar penjelasan daripada Ustaz Don, saya perlu menjawab penjelasan daripadanya tentang beberapa perkara yang perlu diperbetulkan sebagai salah satu tanggungjawab saya sebagai penuntut ilmu terhadap ilmu. Saya mohon maaf kepada ustaz Don kerana terpaksa melanggar saranan ustaz Don yang menyatakan: “malam ni, facebook jangan cakap dah pasal benda ini. Stop. Siapa yang mula dulu, maknanya dia tak faham apa yang kita cerita hari ini” [Video Jawapan Ustaz Don 2 (TV al-Hijrah)]. Hal ini saya terpaksa tulis kerana saya mendapati Ustaz Don masih tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan. Ustaz Don tidak menjelaskan apakah benar apa yang dituduh atau salah. Jika salah tuduhan tersebut, ustaz Don perlu nyatakan apakah yang sebenar dan yang dimaksudkan dalam video tersebut. Bagi saya, dengan cara ini mampu menjernihkan lagi keadaan dan tidak menimbulkan konflik yang lain.

ISU TEKNIKAL
Sememangnya saluran internet seperti Youtube, Facebook, Wikipedia, Google dan lain-lain tidak boleh dijadikan hujah dan rujukan utama dalam mencari ilmu. Benar, untuk membuat sesuatu assigment dan tesis, internet merupakan rujukan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Namun persoalannya; apakah segala apa yang terdapat dalam internet hendaklah ditolak? Apakah sesuatu yang bersumberkan internet tidak boleh dijadikan hujan dalam semua perkara dan keadaan?

Andai kita menjawab ‘YA’, ini merupakan bencana bagi kita umat Islam. Kerana Islam tidak menolak teknologi, bahkan teknologi mampu dimanfaatkan. Justeru, seperti kuliah di youtube yang di upload secara beretika mampu memberi manfaat kepada kita, dan para penuntut ilmu mampu mengutip ilmu daripada video tersebut. Dari hal inilah, kita melihat ramai para asatizah yang menggunakan cara ini untukmenyebarkan ilmu. Tidak kurang juga yang menyebarkan video Ustaz Don semasa kuliah di Tv atau di tempat lain. Justeru, untuk membuat kesimpulan dengan menyatakan apa yang ada dalam internet tidak boleh dijadikan sebagai hujah disebabkan ia di dalam internet, sedangkan apa yang dirakam adalah sama dengan apa yang disampaikan secara ‘live’, maka ini merupakan kesimpulan yang nakal dan dangkal.

Andai kita berhujah, ia tidak boleh dijadikan hujah kerana ia diambil ‘sekerat-sekerat’ @ edit. Maka perkara ini perlu kepada perincian. Andai video tersebut diedit sehingga memberikan maksud yang bercanggah dengan maksud asal penceramah, atau kerana ingin menfitnah atau berniat buruk, maka video tersebut TIDAK BOLEH DIJADIKAN HUJAH. Sebaliknya jika video tersebut diedit dan sekerat-sekerat, tetapi masih dapat difahami maksudnya atau diambil dalam konteks perbincangan yang betul atau sesuatu isu secara penuh, maka ia video tersebut BOLEH DIJADIKAN HUJAH.

Seperti saya berceramah selama satu jam, namun hanya 5 minit sahaja saya bercerita tentang ‘kereta baru saya’, maka tidak salah sekiranya seseorang edit dan buat video sekerat-sekerat selama 5 minit yang menceritakan ‘kerata baru saya’. Maka video ini boleh dijadikan hujah bahawa saya menceritakan tentang saya beli kereta baru. Maka saya tidak boleh marah atau herdik seseorang dengan menyatakan anda tidak boleh percaya pada video tersebut kerana anda hanya lihat video sekerat dan diedit!

Dalam isu video kompilasi ini (sekalipun saya tidak bersetuju dengan menerbitkan video ini), sememangnya ia adalah video yang diedit dan sekerat-sekerat. Namun secara teknikalnya ia masih bertanggungjawab, kerana:
1) video yang lebih panjang dan menyeluruh tentang ceramah ustaz Don memang wujud dalam youtube. Seperti link yang saya sertakan sebahgiannya di atas.
2) video yang diedit tersebut mengambil perbicaraan ustaz Don yang menyeluruh dalam aspek yang dipertikaikan.
3) pengumpulan video pendek yang dikumpulkan ini adalah untuk memudahkan para penonton.
Justeru, andai isu teknikal ini dianggap sebagai isu yang utama, bagi saya ia adalah satu alasan dan hujah yang sengaja diadakan bagi menutup isu sebenar atau cuba untuk mengalihkan isu.

HANYA VIDEO KOMPILASI MENJADI DALIL
Rentetan daripada isu teknikal tersebut, ustaz Don menyatakan (Video Penjelasan sebelum ke UK) hanya dengan satu video ini sahaja yang menjadi dalil dan hujah menyebakan kekeliruan ini berlaku. Dan semua kekalutan yang berlaku ini kerana video kompilasi ini.
Kenyataan sebegini membuatkan saya terfikir,
1)Apakah ustaz Don mengetahui bahawa wujud video lain yang lebih awal dan video yang penuh atau video lebih panjang dalam youtube yang boleh dijadikan batu asas apakah video kompilasi tersebut membawa menfitnah atau tidak.
2) Atau apakah beliau sengaja menyatakan bahawa hanya satu video ini sahaja yang menjadi dalil dengan tujuan untuk membunuh hujah yang mengkritik beliau. Dengan cara begini, apabila sumber diragui, maka secara tidak langsung hujah yang mengkritik juga tidak relevan.
Justeru, saya tekankan di sini bahawa video yang menjadi kritikan terhadap ustaz Don bukan semata-mata berdasarkan kepada video kompilasi ini, malah wujud video penuh yang boleh disaksian oleh pembaca semua seperti yang saya senaraikan di atas, seperti video Ikhwan Muslimin dan Bani Tamim.
Sesungguhnya sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan kewujudan video kompilasi itu. Demikian juga, saya tidak bersetuju dengan tuduhan Ustaz Don terhadap pengkritiknya yang menyatakan pengkritiknya hanya berpandukan kepada video tersebut sahaja dan hanya itu dalilnya.
Penghujahan ustaz Don melalui ini bukan menjernihkan keadaan, malah mengeruhkan lagi keadaan dan beranggapan boleh mengawal pemikiran dan pendapat penonton.

MEREKA TIADA DI MAJLIS
Ustaz Don berhujah bahawa pembuat video dan pengkritik beliau tidak hadir dalam majlisnya. Katanya: “Sebab video yang anda tengok bukan video penuh dan orang yang  buat video tidak ada dalam majlis ketika saya menyampaikannya”. [video jawapan ustaz Don TV al-Hijrah (1)]
Sememangnya benar, yang mengkritiknya boleh dikatakan semua daripada mereka yang tidak menghadiri majlis tersebut. Namun ia tidak boleh dijadikan hujah kerana apa yang dirakam dan apa yang disampaikan oleh ustaz Don adalah sama. Justeru, ketidak hadiran mereka dalam majlis membuatkan mereka tidak boleh mengkritik, maka ini merupakan alasan yang rapuh, disebabkan wujud video yang penuh dan merangkumi isu yang diperbincangkan.
Benar, pembuat video kompilasi ini (mungkin) tidak berada dalam majlis tersebut, tetapi individu yang merakam ceramah dan menyebarkan video ceramah ini (bukan yang kompilasi) adalah orang yang hadir dalam majlis tersebut.

ISU PEMBUAT VIDEO
Sasaran utama yang dikemukakan oleh Ustaz Don pada video penjelasan sebelum ke UK dan di TV al-Hijrah ditujukan kepada pembuat video ini. Sekalipun saya tidak mengenali dan tiada hubungan dengannya, maka saya melihat ustaz Don melemparkan tuduhan dan fitnah terhadapnya.
Apabila Ustaz Don memfokuskan isu ‘fatbayyanu, fatasabbatu’, maka dalam isu video ini, ustaz Don sendiri tidak berjumpa atau bertanya tujuan dia buat video tersebut. Tetapi ustaz Don minta pembuat video tersebut berjumpa dan bertanya kepada beliau. Maka dimanakah ‘fatabayyanu, fatasabbtu’ itu? Lainlah sekiranya pembuat video tersebut sememangnya dikenali sebagai seorang yang seringkali melaga-lagakan asatizah, menfitnah atau berniat buruk.
Lebih melampau dan keterlaluan apabila Ustaz Don mengkiaskan apa yang beliau alami sekarang seperti kisah Ibn Juraij dengan pelacur. Kiasan pelacur dalam cerita tersebut dengan pembuat video ini merupakan kiasan yang tidak berakhlak sebagai seorang ustaz. Demikian juga kiasan yang tidak kena pada tempatnya apabila menyamakan fitnah sekarang seumpama fitnah yang dihadapi oleh Saidatina Aisyah RA dengan Safwan dalam peristiwa hadis al-ifk. [video jawapan ustaz Don TV al-Hijrah (1)]

TEGURAN KEPADA WARDINA.
Kesan daripada video ini, ustaz Don secara terbuka mengkritik Puan Wardina Saffiyah dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Beliau menyatakan: “kenapa orang seperti saudari boleh wujud di atas muka bumi. Tak salah kerana dia bukan orang alim… kerana wujudnya orang-orang seperti begini (pembuat video kompilasi) yang senang-senang menghujam dan mengatakan perkataan2 yang kesat pada para alim ulama, maka maruah para alim ulama dimakan… maruah alim ulama dinampakkan kata:  Allah! Orang biasa pun boleh melenting kepada ulama. Maka orang-orang beginilah (wardina) akan wujud untuk makin ramai mengata perkara-perkara buruk pada alim ulama” [Video Jawapan Ustaz Don 2 (TV al-Hijrah)]
Ungkapan “kenapa orang seperti saudari boleh wujud di atas muka bumi” merupakan ungkapan yang biadab dan merendah-rendahkan maruah wanita. Sedangkan Wardina menegur dengan panggilan nama yang dihormati. Beliau yang memohon jasa baik para asatizah, mufti dan ulama agar menyemak kandungan kuliah ustaz. Ini menunjukkan beliau mengakui ‘dia bukan orang alim’, tetapi apabila herdikan “kenapa orang seperti saudari boleh wujud di atas muka bumi… kerana wujudnya orang-orang seperti begini (pembuat video kompilasi)”, ini merupakan akhlak buruk terhadap seorang wanita muslimah. Seoalah-olah ini tujuan Wardina di atas muka bumi ini.
Tahniah kepada Puan Wardina kerana berani memohon maaf sekalipun beliau tidak bersalah. Tahniah.

TINDAKAN USTAZ DON
Sebenarnya apa yang perlu ustaz Don lakukan bukannya dengan menyerang pembuat video tersebut dan menuduh betapa dangkalnya pemikiran dan ilmu para asatizah yang menegur dan mengkritiknya. Sebaliknya memberi penerangan dimanakah salah video tersebut, apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan dalam video tersebut. Sekiranya Ustaz Don melakukan kesilapan, jangan malu dan merasa jatuh maruah dengan memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang salah. Inilah akhlak yang mulia.

Memandangkan artikel ini panjang dan saya telah mengemukakan pendapat berhubung MASALAH TEKNIKAL yang dihujahkan oleh ustaz Don, maka saya tangguhkan ke bahagian dua untuk saya menjawab dua isu besar BANI TAMIM & IKHWANUL MUSLIMIN. Perbincangan ke dua adalah lebih kepada hujah akademik dan berfakta. In sya Allah.

* sambungan di bahagian ke-2: http://solleh-alfatimi.blogspot.com/2014/04/semoga-ustaz-don-maju-jaya-dalam-dakwah_24.html
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

* Petikan dari buku 'SEHINGGA AL-QURAN TERPAHAT DI HATI'

Al-Quran sesuatu yang terlalu berharga. Ia tidak ternilai sekalipun seluruh dunia dijadikan tukar gantinya. Sebagai seorang Muslim, peliharalah al-Quran yang mulia ini. Ia satu amanah. Ia satu hadiah. Buat seluruh manusia. Janganlah kita sisihkan al-Quran dalam hidup kita. Jangan kita tinggalkan al-Quran bersendirian di dalam mushaf. Bersahabatlah dengannya selalu.
Ingati rintihan Rasulullah s.a.w. terhadap umatnya pada akhir zaman nanti. Rintihan kerana al-Quran disisihkan.

 وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا 
“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai” (Surah al-Furqan: 30)

Prof. Dr. Hamka cuba menyelami maksud ayat ini, lantas beliau mengungkapkan; “Ayat 30 ini apabila kita baca dengan seksama dan penuh renungan, membukakan kepada hati suatu rahsia tersembunyi. Keluhan Nabi bahawa kaumnya telah menjauhi dan meninggalkan al-Quran ini adalah mengandungi cinta, belas dan kasihan kepada mereka. Kasihan kaumku ini, ya Tuhan! Al-Quran yang Tuhan datangkan dan Tuhan suruh sampaikan kepadaku terhadap mereka, yang penuh dengan petunjuk kepada kebahagiaan, mereka tinggalkan dan tidak mereka pedulikan. Hanya hawa nafsu mereka saja yang mereka turutkan. Mereka merasa bangga dalam kekufuran, padahal mereka telah sengsara mereka tidak tahu”.[1]

Untuk lebih memahami keluhan Rasulullah s.a.w. ini, Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah menerangkan di dalam ‘al-Fawaid’. Beliau menyatakan, ingatlah wahai muslimin semua terhadap mereka yang meninggalkan al-Quran. Golongan yang meninggalkan al-Quran terbahagi kepada 5 golongan;

1. Meninggalkan mendengar al-Quran, beriman dengannya dan memperdengarkannya.
2. Meninggalkan beramal dengannya dan mengikuti hukum halal dan haramnya. Sekiranya ia membacanya, dia beriman dengannya.

3. Meninggalkan meletakkan al-Quran sebagai hakim dan berhukum dengannya dalam perkara pokok agama dan cabangnya.
4. Meninggalkan tadabbur dan memahami al-Quran serta pengetahuan yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
5. Meninggalkan memohon penawar atau sembuhkan penyakit dan berubat dengan al-Quran daripada segala penyakit hati dan jasadز

Semua golongan ini adalah golongan yang dirintih oleh Rasulullah s.a.w. Berhati-hatilah kita. Peliharalah diri kita semua. Ingati juga pesanan Syeikh Abu al-Fida’ Muhammad Izzat. “Tanpa al-Quran seseorang Muslim tiada nilainya dan ianya tidak dianggap sebagai seorang Muslim! Al-Quran, tidak sempurna solat tanpanya, tidak sempurna haji tanpa solat, tidak diterima puasa kecuali dengan solat, dan tidak dikira solat melainkan dengan ‘Ummul Kitab’: Fatihah al-Quran. Maka di sana, kita melihat bahawa al-Quran merupakan cahaya kehidupan kita, bekalan jiwa-jiwa kita dan nadi bagi hati kita. Sesiapa yang meninggalkannya kerana kesombongan, nescaya Allah akan mematahkannya. Dan sesiapa yang berhukum dengan selainnya, sesungguhnya dia telah kufur kepada Allah. 

Benarlah firman Allah:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah s.w.t. (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah : 44)[2]

Tanda betapa prihatinnya kita terhadap rintihan Rasulullah s.a.w. ini dan betapa kita menghargai nilai al-Quran yang diturunkan ini, maka kita buktikan dengan menghafaz al-Quran ini. Dari usaha menghafaz al-Quran ini, dengan sedaya upaya kita akan menjauhi lima golongan yang dikhabarkan oleh Imam Ibn al-Qayyim itu. Janganlah bertangguh-tangguh lagi untuk menghafaz al-Quran. Mulakanlah dari hari ini. Berhati-hatilah dengan perkataan ‘akan datang’… ‘nantilah dulu’…Kerana ia racun dalam kehidupan.

Semoga Allah s.w.t. merahmati diri kita semua. Ya Allah s.w.t. kurniakan hidayah dan taufiq kepada kami. Berkatilah kami. Kurniakanlah manfaat yang mencurah-curah dari buku yang kami baca dan kami faham ini. Anugerahkan kepada kami kekuatan untuk menghafaz al-Quran dan seterusnya mengikuti dan mengamalkan setiap suruhan dan menjauhi setiap laranganmu. Amin…



[1] Prof. Dr. Hamka, Tafsir al-Azhar; Juzuk 19; 13
[2] Abu al-Fida’ Muhammad Izzat. Kaifa Nahfaz al-Quran; 8
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

Klik untuk Menonton Video Promo


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (26)
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah al-A’raf 7: 26)
Kehadiran Islam telah mengangkat darjat wanita dan menjadikan wanita setaraf dengan lelaki dari segi hak dan tanggungjawab. Hakikat ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Islam mengangkat darjat wanita dan meletakkan wanita sebagai saudara dan rakan kongsi dalam hidup lelaki. Wanita bergantung pada lelaki dan lelaki bergantung kepada pada wanita. Islam juga telah dan sentiasa melayan wanita sebagai manusia yang sempurna, manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab. Jika tanggungjawab ini ditunaikan, mereka akan diberikan penghargaan sekaligus mereka berhak menerima hak mereka.
Walau bagaimana pun terdapat perbezaan hak antara lelaki dan wanita, hal ini berdasarkan perbezaan semula jadi antara lelaki dan wanita yang tidak dapat dinafikan. Juga berdasarkan perbezaan peranan yang dimainkan oleh mereka. Ia bertujuan memelihara hak-hak yang telah diberikan kepada kedua-dua jenis.[1]

Darjat yang tinggi di sisi agamalah yang melayakkan para wanita mendapat layanan yang begitu istimewa. Mereka diibaratkan sebagai permata yang tersimpan indah lagi mulia. Oleh yang demikian, Islam memberi perhatian yang lebih terhadap keselamatan, kesucian dan kehormatan wanita. Ia dijaga rapi dan dijauhkan daripada tangan-tangan kotor yang cuba menodai dan mengganggu gugat kesuciannya. Antara kaedah yang digunakan bagi merealisasikan matlamat ini ialah dengan memerintahkan para wanita memakai pakaian yang menutup aurat secara sempurna. Dengan cara ini, keselamatan, kesucian dan kehormatan seorang wanita dapat dipertahankan.

Setelah berlalu masa demi masa, pelbagai anasir asing menyelinap masuk dalam masyarakat Islam dan pemikiran umat Islam sehinggakan wanita mencari kemuliaan selain daripada Islam. Mereka mengejar kehormatan yang diwarnai oleh musuh-musuh Islam. Mereka bukan sekadar beralih daripada pakaian keselamatan, kehormatan dan kesucian mereka, malah meninggalkan pakaian tersebut dan memilih untuk memakai sesuatu yang berlawanan dengan kehendak Islam. Lebih menduka citakan apabila mereka berasa begitu bangga dengan pakaian yang mendedahkan tubuh badan mereka tanpa sedikit pun rasa malu.

Lebih menyedihkan lagi apabila anasir-anasir ini diikuti oleh para wanita muslimah terutamanya anak-anak muda. Mereka terpengaruh dengan cara pakaian yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Mereka bukan setakat terpengaruh dengan cara pemakaian sahaja, mala mereka turut terpengaruh dengan cara berfikir yang diolah oleh musuh-musuh Islam. Mereka dimomok-momokkan bahawa pakaian ini memberikan keyakinan diri, kebebasan dan kehormatan diri yang mutlak. Sedangkan realitinya adalah sebaliknya.

Bertolak dari perkara ini, maka terciptalah -sama ada secara sengaja atau tidak sengaja- pelbagai alasan sama ada dari sudut keagamaan, psikologi, pemikiran dan lain-lain bagi mengukuhkan pengaruh mereka. Bahkan turut merangka alasan bagi melambatkan proses seseorang wanita bertudung dan berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Proses ini tidak terhenti di situ sahaja, malah ia disebar bagi mempengaruhi wanita. Akhirnya para wanita dijangkiti penyakit kekeliruan dan kemusykilan.

Kekeliruan dan kemusykilan ini tidak sepatutnya dibiarkan terus bersarang di dalam fikiran para wanita muslimah. Ia perlu dileraikan dan diberi pencerahan yang terang agar jalan yang bakal ditempuh adalah jalan yang dipilih dengan penuh keyakinan. Untuk itu, penulis cuba berkongsi cahaya untuk menyuluh jalan tersebut agar para pembaca mendapat cahaya yang terang lagi jelas bagi menghilangkan kesamaran dan kegelapan tersebut. Semoga solusi yang diberikan mampu menghilangkan kekeliruan dan kemusykilan tersebut, seterusnya menggerakkan wanita agar memilih dengan penuh keimanan dan keyakinan untuk bertudung dan berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
Penulis merafakkan tangan kepada Allah SWT agar buku ‘AURATKU MARUAHKU’ ini mampu menyuntik kesedaran dan dimanfaatkan sebaiknya untuk kehidupan yang lebih mendamaikan. Kita panjatkan doa kepada Allah SWT agar diberi taufiq dan hidayah untuk terus hidup sebagai seorang wanita muslimah persis para sahabiah r.a di zaman Rasulullah SAW.

Maklumat buku:
Betulkah Menutup Aurat Itu Wajib?
Tudung Ialah Simbol Penindasan Wanita!
Tunggulah Sehingga Tua Nanti
Tunggulah...Belum Dapat Hidayah
Persoalan di atas sering menimbulkan kemusykilan dan kekeliruan berkaitan kewajipan wanita Muslimah berpakaian mengikut syariat Islam. Kaedah dan keperluan menutup aurat sempurna semakin dikaburi oleh arus fesyen dan gaya hidup masyarakat Islam itu sendiri. Buku“Auratku Maruahku” ini merungkai semua keraguan dan kemusykilan anda. Persembahan kandungan dalam bentuk soal jawab memudahkan pembaca memahami kepentingan syariat ini. Setiap persoalan dijawab berserta huraian, rujukan al-Quran dan hadis, rujukan kitab dan ilustrasi yang menarik. Teks mudah difahami, ringkas dan agak santai. Grafik menarik, berilustrasi dan berwarna penuh. Sesuai dijadikan bacaan usrah, rujukan di perpustakaan, hadiah buat teman dan ahli keluarga.
Nama Penyusun : Siti Nur Fatimah Hassan & Mohd. Solleh Ab. Razak
Harga: RM 26.00
Kod Produk: TBBK 1283
ISBN: 978-967-388-148-2
Saiz: 16.5 cm X 24 cm
Mukasurat: 168 ms


ISI KANDUNGAN BUKU: 
PENA PENERBIT
PENA PENGARANG
PEMBUKA BICARA
1.      Betul Ke Menutup Aurat Itu Wajib
2.      Penting Sangat Ke Menutup Aurat
3.      Tidak Menutup Aurat Hanya Dosa Kecil
4.      Tudung Merupakan Simbol Penindasan Wanita
5.      Kalau Nak Bertudung, Biarlah Ikhlas Dulu
6.      Iman Lebih Penting Daripada Tudung
7.      Yang Penting Hati Baik
8.      Rasa Cinta Pada Nabi Dah Cukup
9.      Tunggulah…Belum Dapat Hidayah
10.  Wanita Yang Menutup Aurat Tak Semestinya Baik
11.  Kami Ingin Kelihatan Cantik, Kenapa Perlu Sekat
12.  Pakaian Biar Sederhana, Janganlah Ekstrem
13.  Muda Hanya Sekali, Hidup Pun Sekali Je
14.  Bertudung Boleh Merosakkan Rambut
15.  Wanita Yang Menutup Aurat Pun Tidak Selamat
16.  Melindungi Wanita Bukan Sekadar Dengan Pakaian
17.  Bukan Wanita Yang Salah, Tetapi Lelaki
18.  Sekadar Tidak Tutup Aurat, Bukan Seksi Pun
19.  Tidak Adil Menilai Wanita Berdasarkan Pakaian
20.  Sayang Dengan Baju Sekarang
21.  Pengaruh Kawan-Kawan Yang Terlalu Kuat
22.  Dipandang Hina Kerana Menutup Aurat
23.  Tunggulah Dulu Sehingga Berkahwin
24.  Ibubapa Larang, Suami Tak Izin
25.  Kalau Tak Tutup Aurat Pun, Suami Yang Tanggung Dosanya
26.  Status Pun Kena Jaga
27.  Tungguhlah Bila Dah Tua Nanti
28.  Dah Bertudung, Dah Kira Tutup Aurat La…
29.  Asalkan Ada Kain Atas Kepala
30.  Bimbang Tak Istiqamah Apabila Menutup Aurat
PENUTUP


Makluman lanjut: https://www.facebook.com/msar85 



[1] Hasan al-Banna. Wanita Islam, di dalam Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna hal: 394