Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
24 April 2014


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:


إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”. (Surah Hud : 88)

Artikel ini ditulis selepas mendengar penjelasan yang dikemukakan oleh Ustaz Don Daniyal. Berikut adalah ucapan/ ceramah yang disampaikan oleh beliau:

LINK:
1.       Video kompilasi : http://www.youtube.com/watch?v=BwZPTlUPPTY
2.       Video penuh tentang Ikhwan : http://www.youtube.com/watch?v=4kNDZ5iz4LM
3.       Video pendek tentang ikhwan : http://www.youtube.com/watch?v=z4-T4X1jj54
4.       Video banin tamim : http://www.youtube.com/watch?v=JmaZqdM2XH0
5.       Penjelasan Ustaz Don (Sebelum ke UK) : http://www.youtube.com/watch?v=EsXUOtI32WE
6.       Jawapan Ustaz Don 1 (TV al-Hijrah) : http://www.youtube.com/watch?v=K4A4a4pXMHI
7.       Jawapan Ustaz Don 2 (TV al-Hijrah) : http://www.youtube.com/watch?v=iFltqcIi42c

Artikel ini ditulis bagi menyahut seruan daripada al-Fadhil Ustaz Don yang berkata: “Hari ini kita dah maju, apa salahnya. Kita fikir sama-sama, kita jadi orang bagus, kita menuntut ilmu, kita cari ilmu, menelaah ilmu, jawab penulisan dan sebagainya. Apa salahnya? Tak salah”. [video penjelasan sebelum ke UK, 10:55 - 11:26]. Justeru, apabila ustaz Don menyeru agar menjawab melalui penulisan, maka saya terpanggil untuk menjawabnya secara tulisan.

Setelah saya mendengar penjelasan daripada Ustaz Don, saya perlu menjawab penjelasan daripadanya tentang beberapa perkara yang perlu diperbetulkan sebagai salah satu tanggungjawab saya sebagai penuntut ilmu terhadap ilmu. Saya mohon maaf kepada ustaz Don kerana terpaksa melanggar saranan ustaz Don yang menyatakan: “malam ni, facebook jangan cakap dah pasal benda ini. Stop. Siapa yang mula dulu, maknanya dia tak faham apa yang kita cerita hari ini” [Video Jawapan Ustaz Don 2 (TV al-Hijrah)]. Hal ini saya terpaksa tulis kerana saya mendapati Ustaz Don masih tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan. Ustaz Don tidak menjelaskan apakah benar apa yang dituduh atau salah. Jika salah tuduhan tersebut, ustaz Don perlu nyatakan apakah yang sebenar dan yang dimaksudkan dalam video tersebut. Bagi saya, dengan cara ini mampu menjernihkan lagi keadaan dan tidak menimbulkan konflik yang lain.

ISU TEKNIKAL
Sememangnya saluran internet seperti Youtube, Facebook, Wikipedia, Google dan lain-lain tidak boleh dijadikan hujah dan rujukan utama dalam mencari ilmu. Benar, untuk membuat sesuatu assigment dan tesis, internet merupakan rujukan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Namun persoalannya; apakah segala apa yang terdapat dalam internet hendaklah ditolak? Apakah sesuatu yang bersumberkan internet tidak boleh dijadikan hujan dalam semua perkara dan keadaan?

Andai kita menjawab ‘YA’, ini merupakan bencana bagi kita umat Islam. Kerana Islam tidak menolak teknologi, bahkan teknologi mampu dimanfaatkan. Justeru, seperti kuliah di youtube yang di upload secara beretika mampu memberi manfaat kepada kita, dan para penuntut ilmu mampu mengutip ilmu daripada video tersebut. Dari hal inilah, kita melihat ramai para asatizah yang menggunakan cara ini untukmenyebarkan ilmu. Tidak kurang juga yang menyebarkan video Ustaz Don semasa kuliah di Tv atau di tempat lain. Justeru, untuk membuat kesimpulan dengan menyatakan apa yang ada dalam internet tidak boleh dijadikan sebagai hujah disebabkan ia di dalam internet, sedangkan apa yang dirakam adalah sama dengan apa yang disampaikan secara ‘live’, maka ini merupakan kesimpulan yang nakal dan dangkal.

Andai kita berhujah, ia tidak boleh dijadikan hujah kerana ia diambil ‘sekerat-sekerat’ @ edit. Maka perkara ini perlu kepada perincian. Andai video tersebut diedit sehingga memberikan maksud yang bercanggah dengan maksud asal penceramah, atau kerana ingin menfitnah atau berniat buruk, maka video tersebut TIDAK BOLEH DIJADIKAN HUJAH. Sebaliknya jika video tersebut diedit dan sekerat-sekerat, tetapi masih dapat difahami maksudnya atau diambil dalam konteks perbincangan yang betul atau sesuatu isu secara penuh, maka ia video tersebut BOLEH DIJADIKAN HUJAH.

Seperti saya berceramah selama satu jam, namun hanya 5 minit sahaja saya bercerita tentang ‘kereta baru saya’, maka tidak salah sekiranya seseorang edit dan buat video sekerat-sekerat selama 5 minit yang menceritakan ‘kerata baru saya’. Maka video ini boleh dijadikan hujah bahawa saya menceritakan tentang saya beli kereta baru. Maka saya tidak boleh marah atau herdik seseorang dengan menyatakan anda tidak boleh percaya pada video tersebut kerana anda hanya lihat video sekerat dan diedit!

Dalam isu video kompilasi ini (sekalipun saya tidak bersetuju dengan menerbitkan video ini), sememangnya ia adalah video yang diedit dan sekerat-sekerat. Namun secara teknikalnya ia masih bertanggungjawab, kerana:
1) video yang lebih panjang dan menyeluruh tentang ceramah ustaz Don memang wujud dalam youtube. Seperti link yang saya sertakan sebahgiannya di atas.
2) video yang diedit tersebut mengambil perbicaraan ustaz Don yang menyeluruh dalam aspek yang dipertikaikan.
3) pengumpulan video pendek yang dikumpulkan ini adalah untuk memudahkan para penonton.
Justeru, andai isu teknikal ini dianggap sebagai isu yang utama, bagi saya ia adalah satu alasan dan hujah yang sengaja diadakan bagi menutup isu sebenar atau cuba untuk mengalihkan isu.

HANYA VIDEO KOMPILASI MENJADI DALIL
Rentetan daripada isu teknikal tersebut, ustaz Don menyatakan (Video Penjelasan sebelum ke UK) hanya dengan satu video ini sahaja yang menjadi dalil dan hujah menyebakan kekeliruan ini berlaku. Dan semua kekalutan yang berlaku ini kerana video kompilasi ini.
Kenyataan sebegini membuatkan saya terfikir,
1)Apakah ustaz Don mengetahui bahawa wujud video lain yang lebih awal dan video yang penuh atau video lebih panjang dalam youtube yang boleh dijadikan batu asas apakah video kompilasi tersebut membawa menfitnah atau tidak.
2) Atau apakah beliau sengaja menyatakan bahawa hanya satu video ini sahaja yang menjadi dalil dengan tujuan untuk membunuh hujah yang mengkritik beliau. Dengan cara begini, apabila sumber diragui, maka secara tidak langsung hujah yang mengkritik juga tidak relevan.
Justeru, saya tekankan di sini bahawa video yang menjadi kritikan terhadap ustaz Don bukan semata-mata berdasarkan kepada video kompilasi ini, malah wujud video penuh yang boleh disaksian oleh pembaca semua seperti yang saya senaraikan di atas, seperti video Ikhwan Muslimin dan Bani Tamim.
Sesungguhnya sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan kewujudan video kompilasi itu. Demikian juga, saya tidak bersetuju dengan tuduhan Ustaz Don terhadap pengkritiknya yang menyatakan pengkritiknya hanya berpandukan kepada video tersebut sahaja dan hanya itu dalilnya.
Penghujahan ustaz Don melalui ini bukan menjernihkan keadaan, malah mengeruhkan lagi keadaan dan beranggapan boleh mengawal pemikiran dan pendapat penonton.

MEREKA TIADA DI MAJLIS
Ustaz Don berhujah bahawa pembuat video dan pengkritik beliau tidak hadir dalam majlisnya. Katanya: “Sebab video yang anda tengok bukan video penuh dan orang yang  buat video tidak ada dalam majlis ketika saya menyampaikannya”. [video jawapan ustaz Don TV al-Hijrah (1)]
Sememangnya benar, yang mengkritiknya boleh dikatakan semua daripada mereka yang tidak menghadiri majlis tersebut. Namun ia tidak boleh dijadikan hujah kerana apa yang dirakam dan apa yang disampaikan oleh ustaz Don adalah sama. Justeru, ketidak hadiran mereka dalam majlis membuatkan mereka tidak boleh mengkritik, maka ini merupakan alasan yang rapuh, disebabkan wujud video yang penuh dan merangkumi isu yang diperbincangkan.
Benar, pembuat video kompilasi ini (mungkin) tidak berada dalam majlis tersebut, tetapi individu yang merakam ceramah dan menyebarkan video ceramah ini (bukan yang kompilasi) adalah orang yang hadir dalam majlis tersebut.

ISU PEMBUAT VIDEO
Sasaran utama yang dikemukakan oleh Ustaz Don pada video penjelasan sebelum ke UK dan di TV al-Hijrah ditujukan kepada pembuat video ini. Sekalipun saya tidak mengenali dan tiada hubungan dengannya, maka saya melihat ustaz Don melemparkan tuduhan dan fitnah terhadapnya.
Apabila Ustaz Don memfokuskan isu ‘fatbayyanu, fatasabbatu’, maka dalam isu video ini, ustaz Don sendiri tidak berjumpa atau bertanya tujuan dia buat video tersebut. Tetapi ustaz Don minta pembuat video tersebut berjumpa dan bertanya kepada beliau. Maka dimanakah ‘fatabayyanu, fatasabbtu’ itu? Lainlah sekiranya pembuat video tersebut sememangnya dikenali sebagai seorang yang seringkali melaga-lagakan asatizah, menfitnah atau berniat buruk.
Lebih melampau dan keterlaluan apabila Ustaz Don mengkiaskan apa yang beliau alami sekarang seperti kisah Ibn Juraij dengan pelacur. Kiasan pelacur dalam cerita tersebut dengan pembuat video ini merupakan kiasan yang tidak berakhlak sebagai seorang ustaz. Demikian juga kiasan yang tidak kena pada tempatnya apabila menyamakan fitnah sekarang seumpama fitnah yang dihadapi oleh Saidatina Aisyah RA dengan Safwan dalam peristiwa hadis al-ifk. [video jawapan ustaz Don TV al-Hijrah (1)]

TEGURAN KEPADA WARDINA.
Kesan daripada video ini, ustaz Don secara terbuka mengkritik Puan Wardina Saffiyah dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Beliau menyatakan: “kenapa orang seperti saudari boleh wujud di atas muka bumi. Tak salah kerana dia bukan orang alim… kerana wujudnya orang-orang seperti begini (pembuat video kompilasi) yang senang-senang menghujam dan mengatakan perkataan2 yang kesat pada para alim ulama, maka maruah para alim ulama dimakan… maruah alim ulama dinampakkan kata:  Allah! Orang biasa pun boleh melenting kepada ulama. Maka orang-orang beginilah (wardina) akan wujud untuk makin ramai mengata perkara-perkara buruk pada alim ulama” [Video Jawapan Ustaz Don 2 (TV al-Hijrah)]
Ungkapan “kenapa orang seperti saudari boleh wujud di atas muka bumi” merupakan ungkapan yang biadab dan merendah-rendahkan maruah wanita. Sedangkan Wardina menegur dengan panggilan nama yang dihormati. Beliau yang memohon jasa baik para asatizah, mufti dan ulama agar menyemak kandungan kuliah ustaz. Ini menunjukkan beliau mengakui ‘dia bukan orang alim’, tetapi apabila herdikan “kenapa orang seperti saudari boleh wujud di atas muka bumi… kerana wujudnya orang-orang seperti begini (pembuat video kompilasi)”, ini merupakan akhlak buruk terhadap seorang wanita muslimah. Seoalah-olah ini tujuan Wardina di atas muka bumi ini.
Tahniah kepada Puan Wardina kerana berani memohon maaf sekalipun beliau tidak bersalah. Tahniah.

TINDAKAN USTAZ DON
Sebenarnya apa yang perlu ustaz Don lakukan bukannya dengan menyerang pembuat video tersebut dan menuduh betapa dangkalnya pemikiran dan ilmu para asatizah yang menegur dan mengkritiknya. Sebaliknya memberi penerangan dimanakah salah video tersebut, apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan dalam video tersebut. Sekiranya Ustaz Don melakukan kesilapan, jangan malu dan merasa jatuh maruah dengan memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang salah. Inilah akhlak yang mulia.

Memandangkan artikel ini panjang dan saya telah mengemukakan pendapat berhubung MASALAH TEKNIKAL yang dihujahkan oleh ustaz Don, maka saya tangguhkan ke bahagian dua untuk saya menjawab dua isu besar BANI TAMIM & IKHWANUL MUSLIMIN. Perbincangan ke dua adalah lebih kepada hujah akademik dan berfakta. In sya Allah.

* sambungan di bahagian ke-2: http://solleh-alfatimi.blogspot.com/2014/04/semoga-ustaz-don-maju-jaya-dalam-dakwah_24.html
Labels: , | edit post
0 Responses

Catat Ulasan