Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Khilafiyyah: Siapa Yang Wajar Terlibat? ]

Perbincangan khilafiyyah perlu melibatkan sesama Para Agamawan. Jangan libatkan masyarakat awam, kerana ia membinasakan.

Apakah seruan ini menyekat perkembangan ilmu kepada masyarakat? TIDAK. Tetapi menyekat kerosakan dalam masyarakat, disebabkan masyarakat tiada kelengkapan untuk berkecimpung dalam perbahasan dan perbincangan tersebut.

Sebagaimana jurulatih renang melarang orang ramai berenang di lautan, bukan menyekat mereka daripada berenang, tetapi kerana mereka tidak berkemampuan dan tidak layak untuk berenang di lautan. Sedangkan berenang pun tidak pandai, tergamakkah jurulatih mengajak orang yang tidak pandai berenang berenang di lautan?!

Andai jurulatih renang itu jujur untuk mengajar dan melatih masyarakat berenang, maka jurulatih renang akan mengajar secara bertahap sehingga pandai berenang. Bermula dari kolam yang cetek dan peringkat seterusnya. Namun pandai berenang sahaja tidak cukup, kerana berenang di kolam renang jauh bezanya dengan berenang di lautan. Justeru, untuk berenang di lautan perlu ilmu-ilmu tambahan yang wajib dipelajari dan dipenuhi oleh pelajar tersebut.

Sekiranya jurulatih renang itu tidak mengajar cara berenang, namun terus mahu mengajak pelajarnya berenang di lautan, Wallahi jurulatih itu bukan mahu mengajar kamu berenang, tetapi mahu MEMBUNUH kamu!

Demikian juga dengan agamawan yang mengajar khilafiyyah kepada pelajar yang buta Bahasa Arab, Usul Fiqh, Adab Ikhtilaf, Usul Mazhab dan lain-lain ilmu alat, Wallahi agamawan itu bukan mahu memandaikan masyarakat tetapi mahu 'membunuh' masyarakat. Mereka membunuh masyarakat dengan kekeliruan dan kebingungan. Membunuh keinginan masyarakat untuk kembali kepada Islam secara harmoni.

Bagi masyarakat pula, ukurlah kemampuan diri sendiri. Masuklah ke rumah 'perbincangan fiqh' melalui tangga dan pintunya. Bukan melalui tingkap, tebuk dinding dan seumpamanya... Kita mampu menjadi salah seorang yang layak menyertai dan memahami perbincangan fiqh yang halus dengan lebih harmoni sekiranya kita mengikuti tangga dan pintu yang betul.

Ingatilah pesanan para salaf.
1. Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata:
الحديث مضلة إلا للفقهاء "
"Hadis itu menyesatkan melainkan kepada para Fuqaha'."


2. Imam 'Abdullah bin Wahb berkata:
قال عبد الله بن وهب:"الحديث مضلة إلا للعلماء"
Hadis itu menyesatkan melainkan kepada para Ulama'.


لولا أن الله أنقذني بمالك والليث لضللت" قيل له:"كيف ذلك?" قال:"أكثرت من الحديث فحيرني"
Kalaulah Allah tidak selamatkan aku melalui Malik dan al-Laith, nescaya aku telah sesat'. Dia ditanya: Bagaimana boleh berlaku begitu?. Jawabnya: Aku temui banyak hadis yang membuatkan aku bingung.


كل صاحب حديث ليس له إمام في الفقه فهو ضال و لولا أن الله أنقذني بمالك والليث لضللت"
Setiap ahli hadis yang tidak mempunyai Imam dalam Fiqh,maka dia sesat. Kalaulah Allah tidak selamatkan aku melalui malik dan al-Laith, nescaya aku sesat.


Wallahu a'lam.
Abu Mujahid Mohd Solleh Ab Razak
http://ow.ly/i4yp30duBXA
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Akrabnya al-Quran dan al-Sunnah ]

Apabila kita beriman dan meyakini bahawa hadis Rasulullah SAW merupakan wahyu daripada Allah SWT sebagaimana al-Quran, maka secara tidak langsung kita beriman dan meyakini bahawa hadis Rasulullah SAW ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan kelebihan berbanding dengan ilmu yang lain. Secara tidak langsung juga, kita percaya dengan yakin bahawa hadis Rasulullah SAW mempunyai fungsi yang sangat istimewa.
Allah SWT berfirman:

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya”. (Surah al-Nahl: 44)

Ayat yang mulia ini secara jelas menunjukkan bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Tugas Nabi Muhammad SAW terhadap al-Quran adalah menjadi ‘#Ketua #Penerangan’ dalam menjelaskan setiap inci isi kandungan al-Quran kepada seluruh manusia. Penerangan ini melibatkan semua aspek, sama ada daripada sudut perkataan, perbuatan dan juga pengiktirafan terhadap sesuatu perkara. Penerangan ini merupakan penerangan yang sahih dalam menjelaskan al-Quran secara langsung yang dikenali sebagai al-Sunnah atau pun al-Hadis.

Dalam menjelaskan betapa eratnya hubungan antara al-Quran dan hadis nabawi ini, penulis mengajak untuk sama-sama kita menghayati penjelasan yang diutarakan oleh #Syeikh al-#Syarif #Hatim bin ‘#Arif al-‘#Auni. Satu pandangan yang begitu indah dan mudah untuk kita memahami perkara ini. Marilah kita memerhatikannya:

“Tiada keraguan bagi seseorang Muslim bahawa al-Quran dan ilmu-ilmu al-Quran adalah ilmu yang paling mulia secara mutlak. Ia merupakan ilmu yang paling bermanfaat, paling mulia dan paling agung, tanpa sebarang pengecualian. Yang paling penting dan paling agung bagi Ilmu-ilmu al-Quran serta matlamat ia diturunkan adalah untuk tadabbur ayat-ayatnya dan memahami maknanya. Kerana ia kemuncak matlamat penurunan al-Quran iaitu beramal dengannya, mengambil pengajaran daripada nasihat-nasihatnya dan mencari sinar dengan kebijaksanaannya. Hal demikian selama-lamanya tidak akan terhasil selagi mana belum memahami maknanya dan mentadabbur ayat-ayatnya. Sekiranya ia tidak dilakukan, maka bagaimana mungkin beramal dengan al-Quran sedangkan tidak memahami al-Quran?!

Oleh yang demikian, tidak sempurna kefahaman terhadap kalamullah taala dan tidak mungkin mampu memahami makna-makna Kitab Allah yang mulia ini, melainkan dengan Sunnah Nabi SAW dan ilmu-ilmunya. Kerana al-Sunnah merupakan huraian secara teori dan praktikal bagi al-Quran al-Karim.

Dari sinilah, kita masuk ke dalam keterangan yang paling agung tentang kedudukan al-Sunnah dan ilmu-ilmunya dan kepada kedudukannya berbanding ilmu-ilmu yang lain secara mutlak. Iaitu tiada jalan untuk memahami al-Quran, mengetahui agama Islam yang diterima oleh Allah SWT, melainkan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW dan ilmu-ilmunya.
Atau dengan lain perkataan, dengan sebab al-Quran al-Karim merupakan ilmu yang paling mulia. Manakala ilmu-ilmu al-Quran yang paling mulia adalah memahami maknanya. Natijah ini tidak tercapai melainkan dengan hadis. Pada saat itu, hadis adalah ilmu al-Quran yang paling mulia atau hadis adalah ilmu yang paling mulia.

[ Al-Syarif Hatim bin ‘Arif al-‘Auni. Nashaih Manhajiyyah li Talib ‘Ilm al-Sunnah al-Nabawiyyah, 13 ]

-----
Berminat:
RM 27.00
Labels: , 0 comments | | edit post
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ PROJEK HAFAL HADIS - satu pengenalan ]


[ Mula Menghafal Hadis ]

Dalam dunia penunut ilmu, seseorang pelajar sewajarnya mengambil berat tentang hafazan Hadis Nabawi. Kerana ia merupakan sumber utama dan primear dalam memahami agama Islam. Maka para ulama mencadangkan agar dimulakan dengan menghafaz 40 hadis; “Al-Arba’in” yang disusun oleh Imam al-Nawawi rhm. Kemudian berpindah kepada kitab “‘Umdah al-Ahkam ‘an Sayyid al-Anam”, karangan Imam Abdul Ghani bin Abdul Wahid al-Maqdisi rhm. Kitab ini mengumpulkan 500 hadis yang disepakati oleh al-Syaikhan iaitu Imam al-Bukhari dan Imam Muslim rhm. Setelah selesai proses ini, seseorang pelajar akan berpindah untuk menghafaz kitab “Bulugh al-Maram”, karangan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani rhm.[1] Untuk seterusnya, maka bolehlah beralih kepada kitab-kitab yang lebih besar dan lebih panjang perbahasannya.

[ Gagal Tamatkan 40 Hadis ]
Demikianlah perjalanan yang sewajarnya dilalui. Namun dalam masyarakat kita termasuk penuntut ilmu agama juga dilihat begitu terasing dengan hafazan Hadis Nabawi. Bahkan untuk menghafaz 40 Hadis Imam al-Nawawi pun ramai yang gagal melakukannya. Pelbagai alasan dan sebab diberikan. Namun alasan dan sebab itu hanyalah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar dan seorang pencinta Rasulullah SAW.

Terdapat juga yang memberi alasan bahawa mereka bersemangat untuk menghafaz hadis, namun semangatnya mula malap apabila menghafaz hadis yang ke-2, iaitu hadis Jibril yang berkaitan tentang Iman, Islam, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Alasannya hadis itu terlalu panjang. Alasan ini mungkin boleh diterima bagi masyarakat awam yang baru berjinak-jinak untuk menghafaz Hadis Nabawi.

[ Buku Projek Hafal Hadis ]

Oleh yang demikian, penulis memikirkan perlunya ada satu buku yang menyusun dan mengumpulkan hadis-hadis mengikut kadar tertentu bagi memudahkan masyarakat menghafaznya. Justeru ia perlu dimulakan dengan hadis-hadis yang pendek dan ringkas serta tidak banyak perkataannya tetapi memberi menfaat kepada pembaca agar mudah difahami dan mudah untuk diamalkan.

Untuk merealisasikan hasrat ini, penulis cuba merangka dan menyusun buku ini bagi memenuhi keperluan tersebut. Justeru, penulis mengumpul dan menyusun 100 Hadis Nabawi, lalu dibahagikan kepada 10 peringkat. Pada peringkat pertama, penulis menyusun dan mengumpulkan hadis-hadis yang ringkas agar mudah dihafaz. Dimulakan dengan hadis yang hanya tiga perkataan sahaja. Seterusnya jumlah perkataan meningkat sedikit demi sedikit sehinggalah ke peringkat ke-10 dengan jumlah perkataan yang lebih banyak dan lebih panjang. Kesemua 100 hadis ini penulis pilih dan petik daripada kitab “Riyadh al-Salihin”, karangan Imam al-Nawawi rhm.


[ Memudahkan Hafalan ]

Bagi memudahkan hafazan, penulis telah membahagikan ayat-ayat hadis kepada beberapa potongan dan dimasukkan ke dalam kotak secara tersusun. Hal ini bagi memudahkan proses menghafaz. Justeru, kita dapat menghafaz dengan berpindah daripada satu baris ke baris seterusnya dengan lebih mudah sehingga tamat hadis tersebut. Lebih memudahkan lagi proses hafazan, penterjemahan maksud hadis diletakkan di sebelah potongan hadis. Dengan cara ini, kita mampu menghafaz hadis bersama dengan maknanya.

Bagi menambahkan manfaat hafazan Hadis Nabawi ini, penulis bukan sekadar menterjemahkan hadis-hadis tersebut, bahkan penulis turut menyediakan ruangan ‘Huraian Ringkas’. Ruangan ini menjelaskan lagi maksud teks Hadis Nabawi berdasarkan penjelasan yang dikemukakan oleh para ulama. Sekalipun huraian Hadis Nabawi adalah ringkas, tetapi penulis tetap merujuk kepada kitab-kitab para ulama agar para pembaca mendapat kefahaman hadis yang betul dan tepat. 

Antara kitab utama yang dirujuk bagi ruangan ini adalah seperti Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Shaghir karangan Imam Abdul Ra’uf al-Munawi rhm., Dalil al-Falihin li Turuq Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibn ‘Allan rhm., Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih karangan Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari rhm, Syarh Riyadh al-Salihin karangan Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin rhm., Kunuz Riyadh al-Salihin diketuai oleh Prof. Dr. Hmmad bin Nasir bin Abdul Rahman al-‘Ammar hfz. dan kitab-kitab syarah hadis masyhur yang lain seperti Fath al-Bari karangan al-Hafiz Ibn Hajar rhm., al-Minhaj Syarh Sahih Muslim karangan Imam al-Nawawi rhm dan ramai lagi. Bagi ruangan ini, penulis tidak menyebut rujukannya dan nota kaki kerana bertujuan untuk meringkaskan.

Kesemua perkara yang dibincangkan di atas ini akan kita temui pada bab ke-4 nanti. Namun sebelum itu, kita akan bertemu dengan tiga bab awal. 

[ Bab Pertama ]

Bab pertama, kita akan berkenalan dengan kemuliaan ilmu hadis dan kelebihan ahli hadis. Ia dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mempelajari dan menghafaz Hadis Nabawi.

[ Bab Kedua ]
Pada bab kedua, kita akan melihat lembaran catatan perjalanan hadis dalam proses memelihara dan menghafaz Hadis Nabawi. Kita akan melihat bagaimana jaminan Allah SWT memelihara dan menjaga keaslian Hadis Nabawi. Setelah itu, kita melihat bagaimana kaedah dan prinsip yang diletakkan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai ‘Tuan Kalam’ bagi Hadis Nabawi. Perbincangan ini dilengkapkan lagi dengan dengan melihat usaha dan kesungguhan generasi yang dididik oleh Rasulullah SAW iaitu para sahabat dalam menerima hadis dan menyampaikan kepada generasi seterusnya. Akhirnya, kita melihat bagaimana batu asas yang kukuh yang telah dibina oleh generasi awal dalam memelihara hadis nabawi ini sehingga mampu sampai kepada kita pada hari ini dengan keaslian dan pemeliharaan yang baik. Fokus penting dalam bahagian ini adalah bagaimana generasi awal mempraktikkan pemeliharaan dan hafazan hadis nabawi dalam kehidupan mereka. Agar generasi kita dapat menjadikannya sebagai panduan dan model bagi membantu kita menghafaz hadis nabawi pada hari ini.

[ Bab Ketiga ]
Seterusnya pada bab ketiga. Pada bab ini, kita didedahkan dengan tips dan kaedah bagi memudahkan hafazan kita. Kaedah ini merupakan kaedah yang telah digariskan oleh para ulama dan diakui oleh sehingga ke hari ini. Penulis membariskan sebanyak 14 tips dan kaedah yang perlu diterapkan ketika proses menghafaz Hadis Nabawi ini. Disamping itu, dilengkapkan dengan kaedah yang praktikal bagi golongan yang mudah menghafaz dan golongan yang sukar menghafaz. Dengan tujuan, semua umat Islam mampu menghafaz Hadis Nabawi ini berdasarkan kemampuan dan kelapangan masa setiap individu.

[ Kesungguhan Ulama Menghafal Hadis ]

Sebelum melabuhkan tirai, marilah kita lihat sepintas lalu kesungguhan para ulama menghafaz Hadis Nabawi ini. Imam Abu Zur’ah al-Razi rhm. menyatakan:

كَانَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ يَحْفَظُ أَلْفَ أَلْفِ حَدِيثٍ، فَقِيلَ لَهُ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ قَالَ: ذَاكَرْتُهُ، وَأَخَذْتُ عَلَيْهِ الأَبْوَابَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Ahmad bin Hanbal menghafaz 1,000,000 (satu juta) hadis. Lalu ditanya kepadanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Dia menjawab: “Saya pernah belajar dengannya dan mengambil beberapa bab darinya”.[2]

Demikian juga yang beliau lakukan. Imam Abu Zur’ah al-Razi rhm. pernah berkongsi tentang kesungguhannya menghafaz Hadis Nabawi:

أَحْفَظُ مِائَتَيْ أَلْفَ حَدِيثٍ، كَمَا يَحْفَظُ الإِنْسَانُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَفِي الْمُذَاكَرَةِ ثَلاثُ مِائَةِ أَلْفِ حَدِيثٍ.

Maksudnya: “Saya menghafaz 200,000 hadis sebagaimana manusia menghafaz ‘Qul Huwa Allahu Ahad’ -Surah al-Ikhlas- dan di dalam ingatan terdapat sebanyak 300,000 hadis”.[3]

Subhanallah. Itulah sebahagian kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ulama. Itulah tanda cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan menghafaz dan mengingati setiap tutur bicaranya dan setiap langkah kehidupannya.

[ Sebuah Harapan ]
Akhirnya, penulis mengharapkan keampunan daripada Allah SWT atas penulisan buku ini. Penulis juga mengharapkan usaha yang kerdil ini mampu mengajak masyarakat untuk sama-sama mendekati hadis Rasulullah SAW yang mulia ini. Penulis mengharapkan agar Allah SWT memudahkan proses hafazan dan mengekalkan ingatan dalam menghafaz kalam kekasihNya Nabi Muhammad SAW. Penulis mengharapkan agar usaha yang kecil ini akan dipandang besar oleh Allah SWT dan dibalas dengan balasan yang istimewa iaitu dapat bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga kelak. Semoga Allah SWT memakbulkan setiap permintaan hambaNya yang sentiasa menagih dan merintih.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان الى يوم الدين .

والحمد لله رب العالمين .



Daripada;
Hamba Allah SWT,
Umat Nabi Muhammad SAW,
Abu Mujahid Mohd Solleh bin Ab Razak -hafizahullah-


=======
[1] Al-Ghouri, Syed Abdul Majid. al-Manhaj al-Mufid li Talab ‘Ilm al-Hadith. hal: 85
[2] Ibn al-Jauzi. Al-Hatthu ‘ala Hifz al-‘Ilm wa Zikr Kibar al-Huffaz, hal: 53
[3] Ibn al-Jauzi. Al-Hatthu ‘ala Hifz al-‘Ilm wa Zikr Kibar al-Huffaz, hal: 76
Labels: , 0 comments | | edit post
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Berkenalan Dengan Imam Ibn al-Aththar rhm. ]


Nama penuh beliau adalah ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali bin al-Muwaffaq al-'Attar Ibrahim bin al-Tayyib Dawud al-Dimasyqi. Beliau bermazhab al-Syafi’ie. Beliau dilahirkan pada hari raya 'Idilfitri pada tahun 654H. Sejak kecil lagi, beliau telah menghafaz al-Quran. Beliau merupakan Syeikh di Darul Hadith al-Nuriyyah. Kehebatan ilmu dan kepadakannya sehingga digelar sebagai ‘Mukhtasar al-Nawawi’, ‘al-Mukhtasar’[1] dan ‘al-Nawawi al-Saghir’


Pada tahun 701H, iaitu apda usia 47 tahun, beliau ditimpa penyakit strok. Keadaan ini menyukarkannya untuk berjalan. Kemudian kakinya semakin lemah dan dipotong. Beliau banyak menulis dengan tangan kiri. Beliau meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah pada Dzulhijjah 724H, iaitu pada usia 70 tahun 2 bulan.

Al-Hafiz al-Zahabi -iaitu saudara susuan Ibn al-'Attar-, berkata: Ibn al-‘Attar seorang Syeikh al-Imam, seorang mufti, ahli hadis, seorang yang soleh, sebahagian daripada salaf, ketinggian agama.[2] Al-Hafiz al-Zahabi turut menyatakan: 

Beliau seorang Imam, faqih, mufti, zuhud, ahli hadis dan sebahagian salaf. Beliau banyak mendengar dan menulis. Begitu juga meriwayatkan hadiss, mengajar dan memberi fatwa.[3]

Syeikh Syamsuddin bin Jabir al-Wadi Aasyi berkata: 
“al-Syeikh merupakan seorang yang faqih, mufti dan guru. ‘Alauddin Abu al-Hasan ‘Ali bin Ibrahim bin Dawud al-Syafi’ie al-Dimasyq Ibn al-‘Attar. Tuan kepada Darul Hadis al-Nuriyyah. Beliau dikenali sebagai ‘al-Nawawi al-Saghir’ kerana sentiasa mendampingi al-Imam Muhyiddin al-Nawawi. Beliau dilahirkan pada malam hari raya atau satu malam sebelumnya, pada tahun 654H. Beliau ditimpa penyakit yang membataskan dirinya untuk bergerak dan mengendalikan urusan. Baki hidupnya dalam keadaan duduk. Tetapi Allah SWT menguatkan beliau. Beliau mampu menulis pelbagai kitab-kitab dengan tangan kirinya. Dan sekarang ini, dengan tangan kiri inilah belau menulis fatwa-fatwa. Beliau berkata kepada saya: “Saya sama sekali tidak menulis dengan tangan kiri sebelum ditimpa penyakit ini. Maka segala pujian hanya untuk Allah SWT yang membantu saya menulis dengan tangan kiri”.[4]

Imam Ibn Kathir memuji beliau: 
“Beliau adalah syeikh, Imam, ‘Alauddin- tonggak agama-. Beliau menyibukkan diri dan mendampingi al-Imam al-‘Alim al-‘Allamah Muhyiddin al-Nawawi, sehinggakan beliau digelar Mukhtasar al-Nawawi -Ringkasan al-Nawawi-. Beliau mempunyai banyak karya, faedah-faedah, ensiklopedia dan karya hadis”.[5]

[ Imam Ibn al-‘Attar dan Gurunya Imam al-Nawawi ]
Kesungguhan Al-Imam Ibn al-‘Attar mendampingi dan mempelajari dengan Imam al-Nawawi, sehingga digelar sebagai ‘Mukhtasar al-Nawawi’ atau ‘al-Nawawi al-Saghir’. Beliau mendampingi dan mempelajari dengan Imam al-Nawawi sehinggalah Imam al-Nawawi meninggal dunia.

Imam Ibn al-‘Attar menceritakan hubungan beliau dengan gurunya Imam al-Nawawi tatkala beliau menyebut tentang biografi Imam al-Nawawi. Antara ungkapannya: 

“Saya mempelajari daripadanya ilmu Fiqh; iaitu secara pembetulan, saya membaca kepadanya, syarahan, penuh ketelitian, sama ada pembelajaran secara khusus atau pun umum. Saya mempelajari ilmu-ilmu hadis; iaitu secara ringkasannya dan lain-lain, secara pembetulan, hafazan, syarahan, kajian, komentar, sama ada pembelajaran secara khusus atau pun umum.
Sesungguhnya Imam al-Nawawi rapat dengan saya, sangat mengambil berat terhadap saya. Tiada seorang pun yang mampu memberi khidmat kepadanya melainkan saya. Beliau memantau setiap pergerakan dan duduk diam saya. Beliau sangat berlemah lembuh kepada saya dalam setiap urusan dan rendah diri beliau terhadap saya dalam setiap keadaan. Beliau mendidik saya dalam semua perkara sehinggakan dalam lintasan-lintasan hati. Tidak mampu untuk saya menceritakan kesemuanya.
Saya membaca kepadanya banyak daripada karya-karyanya secara teliti dan penuh ketekunan.
Beliau mengizinkan saya untuk memperbaiki kesilapan yang terdapat di dalam karya-karyanya. Maka saya membetulkannya dihadapannya. Lalu saya menulis dengan tulisannya dan beliau memperakuinya. Beliau memberikan kepada saya sehelai kertas dengan pelbagai kitab-kitab yang beliau tulis dan susun dengan tulisannya. Beliau berkata kepada saya:
“Apabila saya pulang kepada Allah SWT (meninggal dunia), sempurnakanlah ‘Syarh al-Muhazzab’ daripada kitab ini. Beliau tidak menentukan hal demikian kepada saya.
Sesungguhnya tempoh saya mendampingi beliau, iaitu yang saya khususkan untuknya sahaja, bermula daripada tahun 670H, atau sebelumnya sedikit, sehinggalah kewafatan Imam al-Nawawi -rahimahullah-.[6]


[ Karya-Karyanya ]
1. Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin


2. Fatawa al-Imam al-Nawawi

3. Hukm Shaum Rajab wa Sya’ban wa ma al-Shawab fih

4. Ikhtisar Nashihah Ahl al-Hadith

5. Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah

6. Syarh ‘Umdah al-Ahkam, karya Ibn Daqiq, yang dinamakan al-‘Uddah Syarh al-‘Umdah.

7. Fadhl al-Jihad

8. Hukm al-Balwa wa Ibtila’ al-‘Ibad

9. Hukm al-Ihtikar ‘inda Ghala’ al-As’ar

10. Risalah fi Ahkam al-Mauta wa Ghaslihim

11. Risalah fi al-Mukus wa Hukm Fa’iliha

12. Adab al-Khatib

13. Al-I’tiqad al-Khalish min al-Syak wa al-Intiqad

Dan lain-lain lagi.


---------
[1] Dibaca dengan ‘shad’ berbaris fathah. Rujuk: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Nuzhah al-Albab fi al-Alqab, jil: 2, hal: 162.

[2] Al-Zahabi, Dzail Tarikh al-Islami, hal: 226.

[3] Al-Zahabi, Al-Mu’jam al-Mukhtash bi al-Muhaddithin, hal: 156

[4] Muhmmad bin Jabir al-Wadi, Barnamij Ibn Jabir al-Wadi Aasyi, hal: 91-92

[5] Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil: 18, hal: 251.

[6] Ibn al-‘Attar, Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin, 64 - 95.
Labels: , 0 comments | | edit post