Solleh Al-Fatimi
Dunia juga tidak dapat mendustakan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin dan pemerintah Mustafa Kamal Ataturk. Dunia melihat persekongkolan antara Mustafa Kamal Atarturk dengan pihak Inggeris dibongkarkan oleh sahabat karibnya, selaku setiausaha peribadinya, Muzhir Mufid Konshuh. Beliau menceritakan tatkala dia diminta untuk menulis perancangan rahsia setelah berjaya memegang tampuk pemerintahan Turki. Beliau menggerakkan pena menulis;

Pertama, menjadikan sistem dasar pemerintahan nanti adalah sistem Republik.
Kedua, hak dan kemudahan sultan beserta keluarganya akan dihapuskan apabila tepat pada masanya.
Ketiga, mengharamkan hijab dari wanita.
Keempat, topi tarbus tidak boleh dikenakan dan akan memakai topi seperti bangsa yang maju...Mendengar perancangan ini, pena yang dipegang Muzhir jatuh tanpa disedari. Namun Mustafa Kamal menyuruhnya meneruskan menulis lagi...Beliau akur.
Kelima, menukar huruf latin dan menghapuskan huruf Arab...
Akhirnya Muzhir menyatakan, Cukuplah wahai Basya, cukup!”

Tanggal 21 November 1922 di Muktamar Luzan ke-2 yang dihadiri antara wakil Mustafha Kamal Ataturk iaitu Esmut Inono dengan wakil Negara-negara bersekutu iaitu Lord Qiruzon juga memegang jawatan sebagai Menteri Luar Britian. Mereka memutuskan perancangan sulit iaitu:
1) Mustafa Kamal Attaturk hendaklah berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Turki dari Agama Islam.
2) Menghapuskan jawatan khalifah
3) Menghapuskan saki baki pejuang Islam dan menghalau mereka keluar dari Turki.
4) Menggantikan gaya hidup islam timur dengan gaya hidup barat yang tiada ikatan agama dan memusuhi islam.

Bagaimana mereka menjayakan usaha jahat mereka ini? Perancangan rapi dan pelaksaan yang mantap menjadi faktor kejayaan mereka meruntuhkan Islam. Asy-Syahid Dr. Abdullah Azzam mendedahkan konspirasi mereka ini:
ü  Mewajibkan rakyat turki memakai topi, padahal pada masa itu topi adalah simbol kekafiran pada pandangan bangsa Turki Muslim. Mereka yang menolak memakai topi, akan digantung di lapangan tersebut.
ü  Menghapuskan huruf Arab, dan memaksa mereka menulis dengan huruf Latin. Cara tersebut bertujuan memisahkan bangsa turki secara total dari agama dan warisan mereka. Mereka yang tidak dapat menguasai huruf Latin dengan baik akan dinafikan dari mendapat pekerjaan, kewarganegaraan ditarik dan pengusiran dari tanah air atau dipenjarakan.
ü  Melarang poligami dan memutuskan persamaan antara lelaki dan wanita dalam semua hak dan kewajipannya, membangun sekolah kejuruan bagi pemuda-pemudi, membangun sekolah yang mengajarkan tarian timur dan tarian barat, melarang hijab, mengeluarkan wanita dari rumah untuk memegang jabatan kerajaan, membangun teater dan panggung wayang serta mendorong rakyatnya untuk mengadakan pesta tarian.
ü  Mengubah dua buah masjid agung iaitu Aya Sofiya dan Masjid al-Fatih menjadi muzium.
ü  Membangun ladang contoh untuk memelihara lembu dan babi, yang bermaksud untuk menentang semua nilai Islam yang luhur.
ü  Mendirikan patungnya disetiap tempat.
ü  Memaksa kaum muslimin menyerukan azan dengan bahasa Turki dan memaksa mereka membaca al-Quran al-Karim dengan Bahasa Turki bukan dengan bahasa Arab. Pernah suatu ketika Mustafa Kamal mendengar azan Subuh dalam Bahasa Arab dari masjid berdekatan dengan istananya, lantas dia memerintahkan supaya masjid tersebut dirobohkan.
ü  Memasukkan kalendar barat untuk menggantikan kalendar Hijriyyah.
ü  Menghapuskan sambutan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha
ü  Menetapkan hari ahad sebagai hari cuti mingguan sebagai ganti hari Jumaat.
ü  Melarang kaum muslimin Turki mengerjakan ibadah haji dan melarang kaum wanita memakai hijab.

Akhirnya detik 3 Mac 1924 menjadi satu detik malapetaka bagi seluruh umat Islam. Ya, seluruh umat Islam! Detik ini secara rasminya Mustafa Kamal Attaturk menghapuskan Khalifah Islamiah. Detik mewartakan pengasingan agama daripada pemerintahan Negara. Detik mahkamah-mahkamah syariat ditutup. Detik Jawatan Menteri Syariah dan Menteri Auqaf dihapuskan. Detik keluarga khalifah Abdul Majid ke-2 serta semua ahli keluarganya dihalau dari Negara Turki. Detik inilah maruah Islam diganyang tanpa erti kemanusiaan. Detik inilah...

Namun, walaupun pelbagai usaha dan tipu daya untuk memadamkan cahaya Islam yang bersinar, ternyata usaha mereka gagal. Malah cubaan untuk menukar negara Islam Turki kepada Negara Sekular Turki mendapat tohmahan dari Parlimen Jerman; “Turki lebih kepada peradaban yang bukan peradaban kita!” Demikian juga kenyataan oleh penulis wanita Turki; “Kita pernah menjadi negara terdepan di timur, kemudian kita menjadi negara yang paling terakhir di barat!”. Natijahnya Turki menjadi seperti kisah burung gagak yang hendak meniru burung rajawali, ia gagal menjadi burung rajawali dan tidak layak untuk kembali menjadi burung gagak!

Walaupun Islam dan umat Islam gagal mempertahankan Khalifah Islam Uthmaniah, namun usaha untuk mengembalikannya terus berjalan. Pengakuan Akhbar Perancis ‘Le Monde Diplomatique’ edisi 18 Januari 1983 yang mengutip dari majalah ‘Ar-Raid’ yang diterbitkan di Jerman menyatakan, “Sekalipun Islam memang tersigkir dari pemerintahan, namun ia tidak pernah tersingkir dihati mereka. Pertubuhan Islam dan pendidikan agama tetap berjalan bahkan mendapat pendokong yang baru. Semangat masyarakat Turki  untuk mempertahankan symbol-simbol islam tetap kuat. Tidak sahaja mereka kembali kepada kelompok (tarikat) Naqsyabandiah, Qadiriah dan lain-lainnya kerana pemerintahan memusuhinya sehingga ia kembali kepada kelompok itu. Lebih dari itu, mereka menolak setiap ajaran dan pandangan yang bertentangan dengan Islam dan kembali kepada kebimbangan rosaknya peradaban Turki ditengah-tengah perkembangan gaya hidup barat”.
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...
Alhamdulillah dengan izin Allah dipertemukan lagi untuk kali ke-dua ini. Pada kali ini difokuskan pada penjelasan berkenaan lafaz Allah dan maknanya. selamat mengambil manfaat daripadanya.

Perbincangan ini dibahagikan kepada beberapa perkara, antaranya:

PERTAMA : PADA BAHASA
Lafaz Allah merupakan kata terbitan yang mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama' berbeza pandangan tentang kalimah asal kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ialah kalimah ini berasal dari
( أله - يأله - الهة - و ألوهة - و ألوهية ). Ia membawa maksud (عبد - عبادة) iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah (إله) yang bermaksud ma'luh (مألوه) iaitu yang disembah (ma'bud). Lafaz ini merujuk kepada maksud yang tersendiri sebagaimana yang telah dinyatakan oleh para ulama' bahasa. (Lisan al-Arab 1/197)

Secara tafsilnya, seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Mu'jam:
Pertama : Perkataan أَلَهَ - يَأْلَهُ - اِلَهَةً - و أَلوهَةً - و أُلُوهِيَة maksudnya ialah: beribadat
Kedua : Perkataan أَلِهَ - يَأْلَهُ - أَلَهًا maksudnya : Hairan dan tercengang
Ketiga : Perkataan ِ أَلِهَ - إِلَيْه maksudnya : Pergi dan berharap kepadanya

Kesemua makna ini diambil daripada kalimah أَلَهَ - يَأْلَهُ - اِلَهَةً - و أَلوهَةً - و أُلُوهِيَة dan antara lain dengan maksud mentaati dan hal ini berlaku pada ibadah iaitu cinta dalam ketaatan. (Mausu'ah Asma' Allah al-Husna, 2/7)

Kata ini merupakan bentuk thulathi (tiga huruf) iaitu alif, lam dan ha yang mencakupi beberapa makna :

  • Peribadatan, seperti dikatakan: "Fulan beribadah kepada Tuhan, ketuhanan", iaitu menyembah.
  • Sewa-menyewa, seperti dikatakan: "Fulan alhan", iaitu : menyewakannya dan memberikannya ketenangan.
  • Kebingunan, seperti dikatakan: "Aliha-alah", iaitu bingung.
  • Tinggal, seperti dikatakan : "Aliha ditempat", iaitu : tinggal ditempat tersebut.
KEDUA : PADA ISTILAH
Al-Ilah adalah setiap sesuatu yang disembah. Barangsiapa yang menyelidiki pengambilan sebutan al-Jalalah (Allah) maka diketahui bahawa nama tersebut terambil dari kata (Ilahu). Ketika kata ini dimasukkan dengan huruf 'al' pada asal 'Ilah' (Allah) kemudian huruf hamzah pada 'Ilahu' serta lam at-ta'rif diidghamkan, maka menjadilah sebutan kalimah tersebut lafaz ALLAH. (Allah al-Ahad, hal 235-236)

Dinukilkan daripada Ibn Manzur beberapa pandangan para ulama' berkenaan dengan nama Allah s.w.t. (1/196-197):
1. Al-Laith berkata: "Telah sampai kepada kami bahawa nama Allah yang Maha Besar ialah Allah yang tiada tuhan kecuali Dia yang bersifat Esa".

2.Syeikh Abdullah Sirajuddin berkata: "Allah adalah isim alam. Menunjukkan terhadap zat Allah taala rabbal alamin, Tuhan yang disembah dengan sebenar, bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang tidak boleh dihitung dan dikira, dihadkan dan dibataskan. Suci dari segala keaiban dan kelemahan, Esa dengan sifat wajib al-wujub dan tidak layak seorang pun atau mana makhluk pun menamakan dengan nama-Nya. Dengan sebab itulah kalimah ALLAH tidak ditasniahkan (diduakan) atau dijama'kan". (Haula Tafsir Surah al-Fatihah, hal 21)

3. Al-Khalil berkata: "ALLAH tidaklah boleh dibuang alif pada nama-Nya, tetapi Dia adalah Allah Maha Perkasa sebutannya atas kesempurnaan dan Dia bukanlah daripada nama-nama yang harus di'mushtaq'kan daripada fi'il sebagaimana nama al-Rahman dan al-Rahim".

4. Ibn Abbas r.a berkata: "ALLAH yang memiliki (sifat) ketuhanan (al-Ilahiyyah) dan kehambaan ('Ubudiyyah) keatas seluruh makhluk-Nya".

Kalimah Jalalah (ALLAH) mengetahui zat al-Ilah yang sebenar dan Dialah semata yang berhak disembah. Kalimah inilah yang terbanyak disebut dalam al-Quran. Penggunaannya berulang-ulang sebanyak 2820 kali. Kali ini merupakan lafaz Islam yang termasyhur yang diucapkan setiap insan.

Telah dijelaskan asal kalimah (alif, lam dan ha) dan juga penggunaan pengambilan huruf tersebut, khususnya lafaz ALLAH di kalangan orang-orang Arab. Kalimah ini berasal dari Arab samada pada masa jahiliah mahupun selepas Islam, dan bukan merupakan kata serapan (dakhil). (Dairah al-Ma'rif al-Islamiyyah, 1/302-311)

Berasaskan pendapat ini, Ulama' nahu Arab termasyhur antaranya al-Kisa'i dan al-Farra' mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata Al-Ilah. Kemudian mereka membuang huruf 'hamzah' dan menggabungkan (idgham) huruf 'lam' yang pertama ke dalam huruf 'lam' yang kedua. kemudian terbentuk satu 'lam' yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.

TARJIH
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah berkata : "Yang benar, kalimah ALLAH ialah kata yang mempunyai asal, dimana asal katanya ialah 'Al-Ilah'. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti saabatnya kecuali beberapa orang yang berpendapat sebaliknya (tanpa sebarang asas). Lafaz ALLAH mencakupi seluruh makna al-Asma' al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi".

Syeikh asy-Sya'rawi dalam tafsirnya 1/27 berkata : "Tentang lafaz ALLAH pada Bismillah, ia membawa maksud memohon bantuan kengan kekuatan ALLAH swt untuk menjayakan sesuatu pekerjaan. Hal ini sangat berbeza dengan Alhamdulillah yang berisikan rasa terima kasih kepada ALLAH setelah kita bekerja. Manusia tidak dapat mengungkapkan rasa syukur kepada ALLAH kecuali dengan menggunakan lafaz AL-Jalalah (ALLAH) tersebut. Lafaz tersebut merangkumi seluruh sifat-sifat Allah yang mulia, sehingga tidak perlu diungkapkan dengan al-Hamdu li al-Qahhar, al-Hamdu li al-Wahhab atau yang lainnya".

PENDAPAT TOKOH ULAMA' ISLAM DAN CENDIKIAWAN KRISTIAN
Di sini penulis menyertakan pendapat tokoh ulama' Islam dan juga cendikiawan Kristian yang berpendirian bahawa penggunaan nama ALLAH bagi orang-orang bukan Islam adalah tidak sesuai.

PERTAMA : Pendapat Tokoh
1. Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia telah mengulas sebagaimana yang telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia, Ahad 6 januari 2008.
2. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia berkata : "Menterjemahkan perkataan God kepada Allah bagi agama lain tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang merujuk kepada ALLAH sebagai Tuhan yang Maha Esa. Setelah menimbang maslahat dalam konteks Malaysia, Persatuan Ulama' Malaysia bersetuju mengambil pendirian bersetuju bahawa perkataan ALLAH tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam".

3. Osman Abu Bakar, ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) berkata : "Haramkan sahaja penerbitan mereka (Herald Catholic) atau menarik balik permit mereka jika sengaja menggunakan nama ALLAH. Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana perbuatan ini boleh mengakibatkan ketegangan agama. Kita tidak mahu keamanan negara ini dicemari dengan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini dan kami sedia bertindak atas nama ISLAM.

4. Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul di UIAM berkata: "Hasil penelitian saya, akhbar Herald Catholic sengaja mencetuskan provokasi Islam Melayu dengan menyentuh perkara yang paling sensitif. Ia diburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini. Kita sanggup mempertahankan hak ini kerana ALLAH sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian ISLAM dicemari. Jangan sentuh semangat jihad kami!"

5. Dato' Seri Mohd Tamyes Abd Wahid, Mufti Selangor berkata : "Sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan ALLAH itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu khusus kepada agama ISLAM sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa. Dalam agama Kristian sendiri, mereka tidak menggunakan kalimah ALLAH dalam kitab mereka sebaliknya mereka menggunakan perkataan seperti Ilah, God, Lord dan sebagainya bagi merujuk tuhan mereka".
Menurut beliau, larangan menggunakan perkataan ALLAH kepada mana-mana agama lain selain Islam, telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak bertahun-tahun dahulu.

6. Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara berkata : "Nama ALLAH bukan sewenang-wenangnya boleh digunakan. Ini kerana Islam merupakan agama yang suci dan tindakan Herold Catholic ini adalah mempersendakan Islam dan perlu diambil tidakan tegas".

7. Dato' Dr. Maamor Osman, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata: "Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar itu dan jika perlu gunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)".

KEDUA : Pendapat cendiakawan Kristian
1. Penganut Kristian juga berselisih pendapat di dalam hal ini. Pada Ogos 2007, Tiny Muskens telah membuat seruan kepada penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah. Bagaimana pun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Kristian sama ada dikalangan Protestan mahupun Katolik sendiri. Presiden Liga katolik Bagi hak Agama Dan Sivil telah membantah saranan tersebut dengan kenyataannya:
"Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to ALLAH all he wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It's not a good sign when members of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those of any other religion".

2. Pengerusi General Synod of The Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter juga menolak cadangan Muskens dengan berkata: "I applaud every attempt to encourage dialogue with Muslims, but I doubt the sense of this maneuver".

3. Izzat Andrews seorang penganut Kristian Koptik di Mesir menerusi artikelnya yang berbahasa Arab berjudul ALLAH Bukan Tuhan Agama Kristian dan Yahudi telah menyatakan: "Kalimah ALLAH hanya berasal daripada penggunaan orang jahiliah yang merujuk kepada Tuhan Bulan. Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab suci Yahudi mahupun Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim".

Berdasarkan kenyataan yang disebut oleh tokoh-tokoh Ulama' Islam dan Cendiakawan Kristian tersebut, jelas menunjukkan bahawa penggunaan nama ALLAH untuk agama Kristian tidaklah sesuai bahkan ditentang dengan sekeras-kerasnya oleh kedua-dua pihak.

TARJIH
Setelah emlihat kepada dalil-dalil serta hujah-hujah ilmiah yang telah dibincangkan maka penulis cenderung kepada pendapat ketidakharusan atau haram penggunaan lafaz ALLAH bagi kaum bukan Islam dalam konteks Negara Malaysia ini.


SEBAB-SEBAB TARJIH
Antara hujah dan sebab-sebab tarjih ialah:

1. Lafaz ALLAH kelas menunjukkan terbezanya maksud dan mafhum antara orang-orang Islam dan bukan Islam. mengikut kitab Dairah al-Ma'rif al-Islamiyyah (4/1005) jelas menunjukkan perkataan ALLAH hanya digunakan oleh orang Islam sahaja dari kalangan umat nabi Muhammad. Antara lain menyebut: "ALLAH adalah Rabb yang Maha Tinggi disisi orang Islam yang mana sifatnya adalah Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar mencakupi segala sifat kesempurnaan dan keesaan tanpa disekutukan dengan yang lain".

2. Konsep tauhid yang diyakini oleh umat Islam adalah berbeza dengan kefahaman dan keyakinan orang-orang Kristian yang mengakui bahawa ALLAH adalah Tuhan Bapa kepada nabi Isa (Jesus)

3. Dr. Ahmad Zaki Hammad dalam 'ALLAH Maha Esa : Sifat-Sifat dan Kesempurnaan-Nya', hal 236 berkata: "Dalam Sejarah Arab tidak terdapat dalil dan bukti yang menunjukkan bahawa lafaz al-Jalalah (ALLAH) telah digunakan kepada selain Tuhan yang lebih berhak sebagai Pencipta langit dan Bumi".

4. Ma'ruf di Malaysia penggunaan nama ALLAH adalah untuk umat Islam sahaja. Ini berhujjahkan kepada bahasa (Bahasa Malaysia) itu sendiri. Jelas penggunaan bahasa menunjukkan bahawa ALLAH adalah tuhan yang sebenar tanpa disekutukan yang lain. Didalam ucapan kalimah tauhid, lafaz mengiyakan ketuhanan yang sebenar iaitu kepada ALLAH semata-mata.

5. Sekalipun nama ALLAH digunakan oleh golongan musyrikin dan ahli Kitab seperti yang dinyatakan dalam al-Quran tetapi perlu difahami bahawa maksud penggunaan mereka itu hanyalah dalam isu mensabitkan tauhid Rububiyyah sahaja.

6. Kemaslahatan ammah perlu dipelihara. Ini adalah kerana jika tuntutan mereka untuk menggunakan kalimah suci ini diberi keizinan, sudah pasti ia akan membuahkan bibit-bibit perpecahan dan pertikaian antara agama dan penganut. Justeru, pemerintah dengan kuasa yang ada padanya melalui kaedah saad al-zarai' boleh menyekat penggunaan kalimah ALLAH kepada yang bukan Islam.

KEPUTUSAN MAJLIS FATWA DAN KABINET
Bagi menyokong dan menguatkan lagi tarjih yang telah dikemukakan di atas, penulis turut menyertakan keputusan yang pernah da telah dibuat oleh Majlis Fatwa dan Kabinet. Antaranya:

1. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengharamkan penggunaan 4 kalimah iaitu ALLAH, Ka'bah, Baitullah dan Solat kepada orang bukan Islam.

2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (JKF) majlis Kebangsaan bagi Hak Ehwal Ugama Islam Malysia kali ke-82 pada 5-7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

3. Keputusan kabinet pada Mei 1986 juga memutuskan bahawa terdapat 4 kalimah yang tidak dibenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam iaitu ALLAH, Ka'bah, Baitullah dan Solat.

4. Malah penggunaan kalimah ALLAH, Ka'bah, Baitullah dan Solat telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan Pekeliling KKDN. S. 59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala jamaad menteri yang bermesyuarat pada 3 januari 2008 telah memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut sebagamana yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

*Apakah Pandangan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam perkara ini? Nantikan pertemuan seterusnya.

Salam dari Solleh Al-Fatimi ;-)
Solleh Al-Fatimi

PENDAHULUAN

Isu tuntutan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian semakin hangat dibincangkan. ia bermula apabila Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah suci ini dalam penerbitan mereka. Pelbagai pihak telah memberi pandangan dan ulasan terhadap isu ini. ada yang menyokong serta ada pula yang tidak bersetuju sama sekali kalimah suci ini digunakan sewenang-wenangnya oleh bukan Islam.

Perselisihan pendapat bukan sahaja berlaku dikalangan masyarakat, bahkan melibatkan sarjana kedua agama terbesar di dunia hari ini iaitu Islam dan Kristian. Justeru, risalah kecil ini cuba sedaya upaya mungkin untuk menekuni permasalahan ini dengan berpandukan kepada dalil-dalil dan maslahat setempat.

PENDAPAT ULAMA'
Sebahagian ulama' berpendapat bahawa harus menggunakan perkataan Allah bagi orang-orang bukan Islam. Walaupun begitu, kebanyakan ulama mengharamkan penggunaannya berdasarkan realiti dan waqi' di Malaysia. Risalah ini akan cuba membincangkan kedua-dua hujah berkenaan dalam konteks penggunaan dansemangat Bahasa Malaysia itu sendiri di Malaysia ini.

HUJAH YANG MEMBOLEHKAN / MENGHARUSKAN
Antara ulama' yang menyokong dan membolehkan penggunaannya ialah Syeikh Fauzi al-Zafzaf, iaitu bekas Timbalan Rektor al-Azhar yang sekarang ini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawtankuasa Dialog Antara Agama Universiti al-Azhar.

Mereka yang berpendapat bahawa kalimah suci ini adalah harus penggunaannya dikalangan bukan Islam telah mengemukakan 2 hujjah. Pertama hujah daripada al-Quran, dan keduanya daripada logik akal serta bahasa. Antara hujah mereka ialah:

PERTAMA: Hujah daripada al-Quran
1. Firman Allah s.w.t dari Surah al-Ankabut,29:61 (teks asal ayat, sila rujuk al-Quran)
maksudnya; "Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?". Sudah tentu mereka akan menjawab; "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?".

Wajah istidlal (cara pendalilan) di dalam ayat ini menunjukkan tentang keharusan menggunakan nama Allah kerana golongan kafirin di dalam ayat ini turut menggunakannya.

2. Firman Allah s.w.t dari Surah Luqman,31:25
maksudnya; "Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu; "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?". Sudah tentu mereka akan menjawab; " Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Wajah istidlal daripada ayat ini jelas menunjukkan jawapan yang diberi oleh orang kafir bahawa Allah-lah yang menciptakan makhluk-Nya.

3. Firman Allah s.w.t dari Surah Zukhruf,43:9
maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab; "yang menciptakannya ialah Allah yang Maha Berkuasa, lagi Maha Mengetahui".

Wajah istidlal daripada ayat ini juga menunjukkan bahawa pencipta langit dan bumi adalah Allah dan inilah yang diucapkan oleh orang kafir.

KEDUA: Hujah (yang mengharuskan) daripada Logik Akal dan Bahasa
1. Mereka yang mengharuskan penggunaan kalimah ini di kalangan bukan Islam berhujjah dengan menyatakan bahawa lafaz Allah sudah pun wujud dan digunakan sebelum kedatangan Islam. Ini berdasarkan kepada nama bapa Rasulullah s.a.w. sendiri yang bernama Abd Allah.

2. Lafaz Allah juga digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani sebelum kedatangan Islam lagi. Ini berdasarkan dalil al-Quran menerusi surah al-Taubah (9:30) yang mengakui bahawa orang-orang Yahudi telah menyatakan 'Uzair itu anak Allah. Manakala bagi orang-orang Nasrani pula mengakui bahawa al-Masih (Isa a.s) adalah anak Allah.

3. Lafaz Allah juga wujud dan turut digunakan di dalam kitab Bible berbahasa Arab. (al-Kitab al-Muqaddas). Sebagaimana yang tertulis di dalam beberapa tempat. Antaranya dalam Perjanjian Lama, alTaqwim 1:1. yang jelas menyebut dengan jelas:
في البدء خلق الله السموات والارض

Atas alasa inilah mereka mendakwa lafaz Allah bukan milik eksklusif untuk umat Islam sahaja.

4. Hujah mereka yang mengatakan bahawa lafaz Allah ini berasal dan hampir sama bunyinya dari kalimah Eloh yang merupakan panggilan terhadap Tuhan dalam bahasa Yahudi.


HUJAH YANG MENGHARAMKAN
Terdapat ramai dikalangan ulama' yang mengharamkan penggunaan nama Allah bagi orang-orang bukan Islam. Antara mereka ialah Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi; Syeikh Abdul Muhsin al-Abikan. Mereka telah mengutarakan hujah-hujah pengharaman disamping menjawab hujah-hujah golongan yang menharuskan penggunaannya. Di sini akan dinyatakan hujah dan alasan pengharaman tersebut. Antaranya:

PERTAMA:
1. Lafaz Allah yang dimaksudkan dalam Islam mempunyai sifat 'Ahadiyyah' dan 'Somadiyyah'-Nya sebagaimana firman Allah s.w.t: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat". (Surah al-Ikhlas,112: 1-2)

Ia amat berbeza dengan kefahaman Ahli Kitab di dalam memahami dan mentafsirkan lafaz Allah itu sendiri.

Hamka dalam tafsirnya (Tafsir al-Azhar) 30/302 dengan menukilkan Tafsir Abu Suud telah berkata: "Diulangi nama Allah sampai dua kali (ayat 1 dan 2) dengan kejelasan bahawa Dia adalah Esa, Tunggal, Dia adalah tempat pergantungan segala makhluk, supaya jelaslah bahawa yang tidak mempunyai kedua sifat pokok itu bukanlah Tuhan. Dalam ayat pertama ditegaskan keesaan-Nya untuk menjelaskan bersih-Nya Allah dari berbilang dan bersusun dan pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan. Dia tempat bergantung, tempat berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan kepada yang lain, Dia tetap ada dan kekal dalam kesempurnaan-Nya serta tidak pernah berkurang".


2. Berdasarkan firman Allah s.w.t. (Surah at-Taubah,9:30)
"Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?".

Wajah istidlal daripada ayat ini ialah pada maksud firman Allah iaitu: 'Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?"

Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menegaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani telah memfitnah Allah dengan menyatakan bahawa Allah mempunyai anak iaitu Uzair dan juga al-Masih. Bagi menolak fitnah ini, Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk menyatakan bahawa Allah s.w.t bukanlah seperti yang didakwa oleh orang-orang Yahudi dan nasrani menerusi firman Allah s.w.t. melalui Surah al-Ikhlas 112:1-4.
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan. Dan  tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya".

Maka setelah Rasulullah s.a.w membersihkan maksud kalimah dari mulut orang-orang Yahudi dan nasrani, wajarkan Muslim hari ini memberi kebenaran untuk mereka mengguna kembali lafaz suci ini (Allah s.w.t)?

3. Sebenarnya lafaz Allah juga tidak pernah wujud di dalam bahasa asal penulisan kitab Taurat dan kitab Bible. Sebagaimana yang kita maklum, Kitab Taurat ditulis di dalam bahasa Ibrani (Hebrew) manakala kitab Bible pula ditulis di dalam bahasa Greek (Yunani).

4. Hujah mereka yang menyatakan bahawa kalimah Allah terdapat di dalam al-Kitab iaitu Bible terjemahan bahasa Melayu dan juga Al-Kitab Al-Muqaddas iaitu Bible terjemahan Bahasa Arab juga tidak dapat diterima kerana lafaz Allah yang digunakan di dalam kedua-dua Bible tersebut jelas  membawa maksud yang berbeza. Ini adalah kerana Allah yang dimaksudkan oleh kedua-dua Bible tersebut jelas menunjukkan kepada akidah Triniti (tiga dalam satu) yang meyakini bahawa Bapa di Syurga ialah Allah, manakala Nabi Isa (Jesus) adalah anaknya dan Ruhul Qudus pula merupakan  salah satu oknum daripada tida oknum Triniti tersebut.

Ini dapat diperhatikan menerusi dalil-dalil daripada kitab Bible mereka yang menyebut di beberapa tempat antaranya di dalam Perjanjian Baru, Markus 13:32: "Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di Syurga ataupun anak (Yesus); hanya bapa yang tahu.

Dalam Lukas 23:46 juga menyebut: "Lalu Yesus menyeru dengan suara lantang, "Ya Bapa, Aku serahkan diriKu ke dalam tanganMu!" Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal dunia".

Konsep Triniti  ini juga mendapat perhatian secara jelas melalui Perjanjian Baru, 1 Yohanes 5:7-8 yang menyebut: "Ada tiga saksi: Roh Allah, air dan darah, dan ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama".

Di dalam Perjanjian Baru, Matius 3:16-17 juga menyebut: "Setelah Jesus dibabtis, Dia keluar dari sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Jesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. Kemudian terdengarlah suara Allah berfirman, "Inilah anak-ku yang aku kasihi. Dia menyenangkan hatiku".

Di dalam Perjanjian Baru, Lukas 3:21-22 juga menyebut: "Setelah semua orang dibaptis, Jesus juga dibabtis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, dan roh Allah berwujud burung merpati turun keatasNya. Lalu terdengar satu suara dari Syurga mengatakan: "Engkaulah anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hatiKu".

Menerusi dalil-dalil yang telah dinyatakan ini, jelaslah bahawa lafaz Allah yang telah digunakan oleh mereka di dalam Bible membawa maksud yang amat berbeza dengan keyakinan Islam.

5. Dalam bahasa Ibrani, lafaz Tuhan disebut sebagai Elohim dan YHWH.  Namun YHWH merupakan nama yang terlalu hebat bagi Tuhan dan tidak boleh disebut sewenag-wenangnya. Perkataan ini telah diganti sebagai ADONAI. ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, Matius bab 27, ayat 45 hingga 50 yang berikut: "Pada tengah hari selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Jesus berseru dengan suara lantang, "Eli, Eli lama Sabakhtani?" yang bermaksud "Allah, Allah mengapa Engkau  tinggalkan aku?" beberapa orang di situ mendengar seruan Jesus lalu berkata: "Dia memanggil Elia". Seorang dari mereka mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya  pada sebatang kayu, lalu di hulurkan ke mulut Jesus. Tetapi orang lain di situ berkata, "Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia". Kemudian Jesus berseru lagi dengan nyaring lalu menghembuskan nafas terakhirnya".

Kalimah Eli ini juga turut digunakan di dalam perjanjian baru. Kitab Markus, bab 15, ayat 33-37.

6. Dalam bahasa Greek (Yunani) pun tidak terdapat lafaz Allah. Lafaz Tuhan dalam bahasa Greek disebut Theos. Sekiranya Tuhan yang disembah oleh mereka merupakan Tuhan yang sebenar, Theos ini dipanggil Hotheos. Dan sekiranya merujuk kepada bukan tuhan yang sebenar, maka dia dipanggil sebagai Tontheos.

7. Sekiranya lafaz Allah terdapat di dalam Kitab Bible berbahasa Arab (Al-Kitab Al-Muqaddas) sebagaimana yang dijadikan hujah oleh mereka, ini adalah semata-mata kerana penterjemah dan penggunaan secara warisan sahaja tanpa mereka memahami maksud sebenar lafaz al-Jalalah (Allah s.w.t) tersebut.

8. Dari sudut kaedah Fiqhiyyah iaitu Sad al-Zarai', tindakan kerajaan yang melarang penggunaan kalimah suci ini adalah tepat. Ini kerana jika dibiarkan orang bukan Islam turut menggunakan kalimah ini, maka kesucian serta sifatnya yang muqaddas tidak dapat dipertahankan dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Bahkan seperti yang telah kita maklum, fahaman mereka terhadap lafaz Allah adalah berlainan sama sekali dengan kefahaman umat Islam.

9. Perlu diketahui perkataan Allah itu sendiri mempunyai partikel 'al' iaitu 'al-ilah' yang merujuk kepada 'The Only God'. (Keesaan)

10. Penulis Marshal G.S Hodgson dalam bukunya The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization secara jelas menolak penggunaannya di kalangan penganut Kristian dengan menyebut bahawa terma 'Allah' yang digunakan oleh Muslim yang berbahasa Inggeris adalah merujuk kepada Tuhan dalam Islam sahaja. Bahkan Hodgson turut menyebut bahawa orang-orang Islam menyembah Tuhan bernama Allah yang bukan semata-mata bermaksud Tuhan sebagai pencipta!

KEDUA: Jawapan hujah pertama
Hujah yang mereka gunakan daripada ayat al-Quran:  Surah al-Ankabut 29:61, Surah Luqman 31:25 dan Surah al-Zukhruf 43:9.

Imam al-Maraghi berkata dalam tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, jilid 11, m/s 5284:
"Sebenarnya mereka mengetahui, Allah s.w.t yang mencipta langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan. Walaupun mereka mengakui keesaan-Nya tetapi mereka masih menyembah selain daripada-Nya. Sepatutnya Dialah yang mesti disembah kerana Dialah satu-satunya yang berhak disembah. Banyak disebut dalam al-Quran tentang Tauhid Uluhiyyah selepas menyebut Tauhid  Rububiyyah. Tujuan disebut itu bagi mengakui Allah s.w.t sebagai pencipta dan penjaga alam semesta, sekaligus mengakui Allah s.w.t sebagai satu-satunya  Tuhan yang berhak disembah, dipatuhi dan ditaati".

Untuk mengetahui "Penjelasan Berkenaan Lafaz ALLAH dan Maknanya" secara terperinci. Nantikan pada pertemuan seterusnya.

salam dari solleh-alfatimi. ;-)

*Dipetik dari buku "Isu Kalimah Allah Dan Hukum Penggunaannya Bagi Bukan Islam", oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Ustaz Rashidy Jamil Muhammad ar-Rasyid. m/s 1-10
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum.

Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t dan dengan rahmat-Nya, tercipta juga blog solleh-alfatimi.blogspot.com. Terima kasih Tuhan.

Dengan bermotokan 'Katakanlah Kebenaran itu dari Tuhan-mu' dapat menjadi jambatan dalam menyatakan kebenaran. Hanya kebenaran yang akan diungkapkan dan hanya kebenaran yang akan diperjuangkan. Namun setiap manusia menyatakan dialah yang benar. Apa yang diperjuangkan adalah satu kebenaran. Bahkan kesesatan turut mengakui mereka dijalan kebenaran. Yang manakah sebenarnya kebenaran? Siapakah sebenarnya yang berada di atas kebenaran? Kebenaran yang manakah yang perllu dituruti? kebenaran yang manakah yang perlu diperjuangkan? kebenaran manakah...?

Tiada yang lebih benar dan tiada lagi kebenaran melainkan yang datang daripada Allah s.w.t. Tiada lagi kebenaran kecuali berpandukan kepada al-Quran yang mulia. di situlah erti sebuah kebenaran diperkenalkan. di sanalah terletaknya sepohon keyakinan yang pasakkan. diawal firman-Nya diperdengarkan: "Dzaalikal kitabu la raiba fih". Tiada keraguan. Tiada lagi kesangsian. Kerana di situlah hanya ada kebenaran. Dan di tempat lain hanyalah kebenaran yang palsu. Kebenaran bak fatamorgana.

Pelayaran bahtera solleh-alfatimi dikemudikan bersama pasangan yang disatukan oleh Allah s.w.t dengan ikatan suci yang menjadi sebahagian daripada ibadah. Mohd Solleh bin Ab Razak dan Siti Nur Fatimah binti Hasan. Semoga bahtera solleh-alfatimi ini berjaya mengharungi segala rintangan ombak yang mengganas, ribut kencang yang menerjah dalam misi menyampaikan mesej 'Katakanlah Kebenaran itu dari Tuhan-mu': Allah s.w.t.

Semoga ia memberi manfaat dalam memberi erti hidup seorang muslim.

Salam dari solleh-alfatimi