Solleh Al-Fatimi
 
24 Julai...8.30 Malam... 

Awan berarak ceria
Tanpa titis hujan
Pohon menghijau melambai-lambai
Tanda sebuah pengharapan
Memberi erti perjalanan sebuah kehidupan


DI HARI LAHIR MU
SUAMI KU

Dedaun berguguran
Meniti sebuah alam kedewasaan
Bersama insan-insan yang kau sayang

SELAMAT HARI LAHIR ABANG

BERSYUKUR KEPADANYA
ATAS NIKMAT USIA

USIA MU IBARAT MUTIARA
TIADA BERGANTI LAGI
HIASKAN IMAN BERSULAM TAQWA
AGAR SEMPAT MENITIP
HARUMAN SYURGAWI
Suamiku, alhamdulillah tahun ini merupakan tahun ketiga kita menyambut ulangtahun kelahiranmu. tahun pertama, kita baru sahaja bergelar suami isteri ketika itu, tahun kedua debaran kita menanti kelahiran permata hati kita dan tahu ketiga ini kita raikan dengan adanya permata hatimu dan permaisuri hidupmu.ALHAMDULILLAH setinggi kesyukuran atas nikmat bahagia yang Allah titipkan dalam syurga rumahtangga kita...

isterimu dan jua anakmu mendoakan agar setiap inci hidupmu diredhai Allah. tiap perjalanan hidupmu sentiasa di bawah InayahNya. Umurmu diberkati, peribadimu berakhlak islami... teruskan perjuangan dalam menegakkan kalam Allah di muka bumi ini....
 l




akhir kalam, gambaran keluarga bahagia kita dalam institusi baiti jannati yang ingin kita cipta bersama mudah-mudahan diberi kekuatan olehNya... barakallahu fik....

Solleh Al-Fatimi
oleh: Solleh al-Fatimi

“Mengantuk aku dengar khutbah!”. “Kamu faham tak apa yang khatib cakap dalam khutbah tadi?”. “Tak membina langsung khutbah sekarang ni”. Inilah antara keluhan hati yang sering didengari seusai Khutbah Jumaat. Khutbah hari ini yang penuh dengan kelesuan khatib dan isi khutbah terlalu jauh berbeza dengan khutbah Jumaat yang diajarkan oleh Islam. Khutbah gagal menyuntik kesedaran. Fungsi sebenar khutbah jauh melencong dari matlamat asalnya.

Jika diselak lembaran sejarah, Syeikh Abdul Hamid al-Ibadi membentangkan dalam Majalah al-Azhar pada Ramadhan 1371 dengan judul ‘Baina Khalifah wa Qadhi’ bagaimana Imam Munzir Bin Sa’id menyampaikan risalah Islam dengan berkesan sehingga dapat menyedarkan pemerintah. Pada zaman pemerintahan Andalusia dibawah pemerintahan Abdul Rahman an-Nasir Lidinillah menyaksikan terbinanya sebuah Istana Az-Zahra' hasil gabungan beberapa buah istana yang mewah lagi indah. Perbelanjaan bagi segala pembinaan dan mencantikan istana ini diperuntukan dari harta negara.

Menyedari hakikat ini, Imam Munzir bin Sa'id, sebagai Ketua Hakim Negara merasakan dirinya telah mengabaikan kewajipan sebagai seorang ulama'. Jawatan yang disandangnya tidak mampu mengunci mulutnya, membekukan lidahnya. Jawatan tidak menjadikannya syaitan yang bisu. Lalu beliau berazam untuk menyedarkan Khalifah Abdul Rahman an-Nasir atas pembaziran dan penyalahgunaan wang kerajaan. Bagaimanakah beliau menegur khalifah? Di manakah beliau melakukannya?

Tiada tempat yang lebih sesuai untuk menegurnya kecuali tatkala beliau bekhutbah jumaat dihadapan para jemaah yang hadir. Inilah khutbah yang hebat. Ketika berkhutbah, beliau membacakan ayat ke 128 hingga 135 dari Surah asy-Syu'ara’ yang menegaskan;

"Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik. Dan kamu telah bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya? Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis? Oleh itu takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepada-ku. Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmatnya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberikannya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak pinak (yang ramai), dan taman-taman (yang yang indah permai) serta mata air-mata air (yang mengalir). Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)".

Kemudian beliau menyambung Surah An-Nisa' ayat ke-77;

"Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mata benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikitpun".

Pemborosan dalam pembinaan ini terus dikritik hebat dengan perkataan yang keras dan pedih bersandarkan firman Allah s.w.t;

"Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu yang baik, ataukah orang-orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh!, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim". (Surah At-Taubah:109)

Peringatan dan kritikan ini didengar oleh sidang jumaat dengan penuh khusyu'. Khutbah yang tidak melenakan sidang jumaat. Sementara Khalifah Abdul Rahman an-Nasir menangis kerana menyedari bahawa kritikan yang dilemparkan itu adalah ditujukan terhadap dirinya. Malangnya, Abdul Rahman an-Nasir tidak dapat menerima kritikan ini dan bersumpah tidak akan solat jumaat dibelakang Imam Munzir Bin Sa'id lagi.

Melihat reaksi Abdul Rahman itu, anaknya Al-Hakam mencadangkan agar Imam Munzir dipecat dari jawatannya, namun cadangan tersebut mendapat herdikan daripada ayahnya; "Adakah terdapat orang lain lagi yang mempunyai kelebihan, kebaikan dan lebih mendalam ilmunya seumpama Munzir Bin Sa'id! Sangat tidak patut jika beliau dipecat lantaran ingin mengiakan perbuatan aku yang telah melencong dari hidayah dan menyimpang dari jalan yang lurus. Perkara ini tidak akan terjadi! Sesungguhnya aku malu kepada Allah s.w.t jika aku tidak mendapat syafaat dari solat jumaat yang dimami oleh Imam Munzir Bin Sa'id".

Amanah jawatan yang diberikan dilaksanakan demi sebuah keredhaan ‘Penguasa Maha Agung’, Allah s.w.t. Khutbah dijadikan medan untuk membangkitkan kesedaran yang terlena. Kebersamaan dengan Allah s.w.t menjadi suntikan keberanian. Contoh teladan ini dikutip dari kitab Min Akhlaq al-Ulama’, malah pernah dipersembahkan dalam dalam Majalah al-Azhar terbitan Ramadhan 1371H.