Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid Solleh al-Fatimi
29 Disember 2011


Alhamdulillah... Sesi persekolahan secara rasminya akan ditempuh dalam beberapa hari sahaja lagi. Bagi ibubapa yang anaknya telah menamatkan pengajian di sekolah rendah atau kebangsaan semestinya sudah menentukan kemanakah haluan dan arah tuju persekolahan anak-anaknya. Alhamdulillah anak-anak semakin hari semakin membesar dan menginjak di usia remaja.

Tahniah, kepada ibubapa yang menghantar anak-anaknya ke sekolah menengan agama, sekolah tahfiz dan sebagainya. Dengan harapan, anak tersebut akan mendapatkan pendidikan yang terbaik berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Alhamdulillah ibubapa mempunyai kesedaran ini.

Namun persoalannya, adakah memadai dengan menghantar anak ke sekolah agama/tahfiz tanpa pengukuhan dan persiapan yang diberikan oleh ibubapa? Satu kesalahan besar ibubapa, sekiranya beranggapan bahawa dengan menghantar anak-anak ke sekolah agama/tahfiz, secara automatic anaknya akan menjadi baik dan soleh. Bukan memperkecilkan peranan sekolah agama/tahfiz, cuma sekadar untuk membangkitkan kesedaran bahawa peranan ibubapa dalam memasakkan iman dalam diri anak adalah amat penting dan sekolah tidak mampu merubah seseorang anak-anak sekiranya tanpa bantuan ibubapa.

Jangan serahkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada guru-guru. Guru-guru sekadar memperkemaskan dan memantapkan lagi didikan kita sebagai ibubapa. Sekiranya kita menyerahkan kepada guru-guru, cuba kita tanya diri kita, apakah tanggungjawab kita pada anak-anak kita? Apakah sekadar menghulurkan wang belanja? memberi segala kemewahan dan kemahuannya?

Sekiranya berlaku kepincangan dan permasalahan yang berlaku pada anak-anak kita, jangan terlalu cepat kita menuding jari ke arah guru. Tetapi muhasabah lah diri kita terlebih dahulu. Apakah cukup didikan yang kita sematkan dalam diri anak-anak kita? Adakah cukup kasih sayang yang kita curahkan kepada anak-anak kita? Memadaikah ilmu yang kita tanamkan dalam diri anak-anak kita? Kita sebagai ibubapa ada jawapannya.

Terlalu malang sekiranya kerana ingin menunjukkan kasih sayang (yang palsu) kepada anak-anak, kita tetap membela dan mempertahankan anak-anak kita sekalipun mereka melakukan kesalahan. Kononnya kita ingin nyatakan pada anak: "Inilah bukti ibu ayah sayangkan kamu!" Tersangat malang lagi sekiranya kita mengalihkan kesalahan kita kepada orang lain, salahkan guru, salahkan pelajar lain. Akhirnya, untuk membuktikannya, terpancul dari mulutnya "Kalau anak saya salah, Cikgu lebih salah lagi!". Cuba fikirkan, apakah kita sebagai ibubapa tidak bersalah? Menghantar anak ke asrama tanpa mengambil tahu. Mempercayai fitnah anak tanpa menyelidiki. Sedarlah, menghantar anak ke sekolah berasrama bukan bererti menghantar bersama tanggungjawab mendidik anak kepada guru-guru.


JUSTERU...
Marilah kita hayati sabda Rasulullah SAW ini. Ya, kita telah melakukan pilihan yang terbaik dengan menghantar anak ke sekolah agama/tahfiz. Namun ia tidak memadai. Ia perlu dimulakan dari rumah. Mulakan dari mula. Iaitu mulakan dengan memasakkan iman dalam diri anak-anak, barulah al-Quran yang hadir dalam dirinya mampu menjadi agen pengubah yang berkesan dalam hidupnya. TANAMLAH IMAN, SIRAMILAH IA DENGAN AL-QURAN!


عَنْ جُنْدُبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتَعَلَّمْنَا الْإِيمَانَ قَبْلَ أَنْ نَتَعَلَّمَ الْقُرْآنَ ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْآنَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيمَانًا

Diriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah r.a, katanya;
“Kami bersama Nabi SAW, pada waktu itu kami adalah pemuda yang kuat dan perkasa. Kami mempelajari keimanan sebelum kami mempelajari al-Quran. Apabila kami memperlajari al-Quran, maka bertambahlah keimanan dengan al-Quran itu”.[1]

Begitu juga dengan hadis ini.

عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ عَوْفٍ الشَّيْبَانِي قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ : لَقَدْ عِشْنَا بُرْهَةً مِنْ دَهْرِنَا وَ إِنَّ أَحَدُنَا يُؤْتَى الإِيمَانُ قَبْلَ الْقُرْآنِ ، وَتَنْزِلُ السُّورَةُ عَلَى مُحَمَّدٍ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَيَتَعَلَّمُ حَلاَلَهَا ، وَحَرَامَهَا وَمَا يَنْبَغِى أَنْ يوقفَ عِنْدَهُ فيْهَا. كَمَا تَعَلَّمُونَ أَنْتُمُ الْقُرْآنَ ، ثُمَّ قَالَ :لَقَدْ رَأَيْتُ رِجَالاً يُؤْتَى أَحَدُهُمُ الْقُرْآنَ فَيَقْرَأُ مَا بَيْنَ فَاتِحَتِهِ إِلَى خَاتِمَتِهِ مَا يَدْرِى مَا آمِرُهُ وَلاَ زَاجِرُهُ وَلاَ مَا يَنْبَغِى أَنْ يُوقِفَ عِنْدَهُ مِنْهُ يَنْثُرُهُ نَثْرَ الدَّقَلِ. 
Diriwayatkan daripada al-Qasim bin ‘Auf al-Syaibani, katanya; Aku mendengar Abdullah bin ‘Umar berkata:
“Sesungguhnya kami hidup sekejap sahaja dari masa kami. Sesungguhnya seseorang dari kami dikurniakan keimanan sebelum al-Quran. Diturunkan surah ke atas Muhammad SAW, maka Baginda mengajarkan perkara yang halal, haram dan perkara yang sepatutnya ia berhenti (daripada melakukannya), sebagaimana kamu mempelajari al-Quran. Kemudian al-Qasim berkata; “Sesungguhnya aku melihat salah seorang daripada segolongan lelaki yang dikurniakan al-Quran, maka dia membaca surah antara al-Fatihah sehingga khatam al-Quran, sedangkan dia tidak mengetahui apa yang diperintahkan, apa yang ditegahkan dan perkara yang tidak sepatutnya dia berhenti (daripada melakukannya) daripada al-Quran, maka (perbuatan ini seperti) menaburkan seperti taburan tamar yang paling buruk”.[2]
_____________________
[1] Riwayat Ibn Majah no: 60. Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman no: 51. Al-Haithami dalam al-Zawaid berkata: Isnadnya sahih dan rijalnya thiqah. Al-Albani berkata: Hadis sahih

[2] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak no: 101. Katanya: Hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim.