Solleh Al-Fatimi

Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Iqtarabatis Sa'ah > Isu 2

SOALAN PERTAMA : 

Banyak tanda-tanda akan tibanya hari kiamat yang dijelaskan  oleh al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, namun apakah hikmah dikemukakan semua tanda-tanda ini?

JAWAPAN :
Antara rahmat Allah SWT terhadap kita sebagai hambanya ialah Allah SWT menyediakan untuk kita di dunia ini dengan pelbagai perkara yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Antara perkara tersebut ialah dengan menyatakan tanda-tanda kiamat yang semakin muncul dari hari demi hari. Maka kiamat tidak akan berlaku secara tiba-tiba atau mengejut, bahkan ditonjolkan dahulu tanda-tanda akan berlakunya kiamat. Firman Allah SWT:
“Maka tidak ada lagi yang mereka tunggukan melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya”. (Surah Muhammad: 18)

Para ulama tidak lupa untuk menyatakan dalam kitab-kitab mereka tentang hikmah wujudnya tanda-tanda hari kiamat. Imam al-Qurtubi dalam kitabnya al-Tazkirah menyebut bahawa; para ulama r.h.m berkata, hikmah dikemukakan tanda-tanda dan petunjuk datangnya kiamat  kepada manusia adalah sebagai satu peringatan kepada mereka yang tidur dan mendorong mereka agar memelihara diri mereka dengan cara bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, selepas munculnya tanda-tanda kiamat ini, maka seluruh manusia sepatutnya memerhatikan dan memuhasabah diri mereka, memutuskan dari (kelekaan) dunia dan membuat persediaan untuk kiamat yang telah dijanjikan.

Imam Abu Abdullah bin al-Husain bin al-Hasan al-Halimiy pula menyebut di dalam al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman, setelah menyebut perkataan yang hampir sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi, beliau menambah dengan katanya: “Dan hendaklah manusia ketika munculnya tanda-tanda kiamat satu demi satu, mereka seumpama orang sakit yang dapat memerhatikan tanda-tanda kematian dirinya satu demi satu. Maka pada waktu itu dia tidak akan mengabaikan masanya untuk terus bertaubat, berwasiat dan mengoreksi dirinya, ahli keluarganya dan seluruh sahabat yang mempunyai hubungan dengannya. Demikian juga, setelah munculnya tanda-tanda kiamat ini, manusia sewajarnya memerhatikan atau menilai (amalan kebaikan dan kejahatan) dirinya, memutuskan dari (kelekaan) dunia, yakin dengan peristiwa kiamat dan seterusnya membuat persediaan untuk menghadapinya (dengan menjunjung perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya).

al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan, sesungguhnya hikmat dikemukakan tanda-tanda kiamat ialah membangunkan orang yang lalai dan mendorong mereka agar bertaubat dan membuat persediaan menghadapinya. Wallahu a’lam.



SOALAN KEDUA: 


Terdapat pelbagai ramalan tentang akan berlakunya kiamat, namun setakat ini semuanya tersasar dari kebenaran. Namun persoalannya bilakah akan berlakunya kiamat?

JAWAPAN
Tidak dinafikan terlalu banyak ramalan kiamat yang dihebohkan. Antaranya William Miller, pengasas gereja Advent meramalkan berdasarkan Bible iaitu pada 23 April 1843. Joseph Smith, pengasas gereja Mormom yang mengaku dapat berbicara dengan Tuhan meramalkan kiamat pada tahun 1891. Harold Camping seorang penginjil dan penyiar di Family Radio Worldwide meramalkan melalui kajian Biblenya ialah pada Hari Sabtu, 21 Mei 2011, pada jam 6.00 petang.

Demikian juga Filem 2012, sebuah filem arahan Roland Emmerich yang mengisahkan ketibaan hari kiamat pada tahun 2012. Sehinggakan filem ini dinobatkan sebagai filem 'paling jahil dan penuh kecacatan dari segi sains’ dalam satu persidangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di California, Amerika Syarikat.

Bagi kita yang beriman kepada Allah SWT dan hari kiamat, kita berpegang teguh bahawa Allah SWT menyembunyikan masa akan berlakunya kiamat dari pengetahuan manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada pada sisi tuhanku, tidak ada sesiapun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan dibumi, mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah al-A’raf: 187)
Malah terdapat pelbagai lagi dalil yang menunjukkan kerahsiaan bilakah akan berlakunya kiamat. Kesimpulannya, bilakah akan berlaku kiamat ini tidak diketahui oleh seluruh manusia kecuali hanya  Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Wallahu a’lam.



p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.
0 Responses

Catat Ulasan